suria

Badminton (Remaja Dunia): Thailand rangkul tempat ketiga berpasukan

ALOR SETAR: Pasukan badminton remaja Thailand meraih tempat ketiga bagi acara berpasukan apabila menundukkan Taiwan 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim, hari ini.

Thailand memperoleh mata pertama menerusi gandingan beregu campurannya Phuangphuapet Nipitphon-Serithammarak Artima yang menumpaskan beregu Taiwan, Yang Chi Hsun-Wu Yun Ting 21-17, 15-21 dan 21-12.

Bagaimanapun,perseorangan lelaki Thailand Buranakrue Watchara tewas mudah di tangan Hsu Jen Hao 11-21, 13-21 menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Thailand kembali di hadapan apabila perseorangan wanitanya, Jindapol Nitchaon berjaya memberikan mata kedua buat pasukan apabila menundukkan Lu Chia Chien 21-11, 16-21 dan 21-17.

Thailand mengesahkan mata kemenangan 3-1 menerusi pasangan beregu lelaki Buranakrue WatcharaSupasri Pawarit yang menewaskan Chang Kai Liang-Lin Yu Te, 18-21, 21-15 dan 21-15.

Sementara itu, pasukan remaja Malaysia yang mara ke peringkat akhir akan bertemu China pada pukul 7.30 malam ini.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat untuk menyaksikan perlawanan akhir itu dan berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. BERNAMA

Artikel Lain