suria

Malaysia mara ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia

ALOR SETAR: Pasukan badminton remaja kebangsaan melangkah ke final acara berpasukan selepas menundukkan Taiwan 3-1 dalam perlawanan separuh akhir pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim di sini.

Gandingan beregu campuran negara yang dibarisi Chooi Kah MingNg Hui Ern meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Yang Chi HsunWu Yun Ting 21-19,27-25 untuk mata pertama.

Bagaimanapun,kem negara tersentak apabila perseorangan utama Iskandar Zulkarnain Zainuddin tewas mengejut kepada Hsu Jen Hao dengan straight set 13-21,14-21 untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Pasangan beregu lelaki Choo Kah MingOw Yao Han kemudiannya menceriakan penyokong negara dengan aksi cemerlang apabila mengalahkan Chang Kai LiangLin Yu Te 21-12,21-16 untuk kembali meletakkan Malaysia di hadapan 2-1.

Perseorangan perempuan Tee Jing Yi sekali lagi menjadi wira apabila membawa Malaysia ke final selepas menundukkan Cheng Chia Ya 21-17,22-20 untuk mata ketiga.

Malaysia akan bertemu pasukan pilihan pertama China yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final apabila mudah menyingkirkan Thailand 3-0.

Sementara itu, ketua jurulatih negara Sun Chenghua menjelaskan kekalahan mengejut Iskandar Zulkarnain berpunca daripada masalah keracunan makanan yang dialami sejak malam tadi. "Iskandar berkata dia masih boleh bermain untuk perlawanan separuh akhir tadi namun selepas turun ke gelanggang, ternyata dia tidak dapat beraksi cergas," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Katanya dia akan memantau keadaan Iskandar dan jika disahkan tidak cergas untuk beraksi esok, tempatnya akan digantikan Mohd Syawal Ismail.

Sementara itu, Tee Jing Yi berkata beliau gembira apabila berjaya menyumbang mata kemenangan kepada Malaysia.

"Saya bermain seperti biasa dan cuba mengurangkan kesilapan.

Saya juga berharap dapat meneruskan momentum menjelang perlawanan akhir menentang China esok," katanya. Keputusan hari ini.

Separuh akhir 1 China mn Thailand (3-0)

Separuh akhir 2 Malaysia mn Taiwan (3-1)

BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain