suria

Pelumba Itali di tempat pertama Skyrunner

KUNDASANG: Pelumba Itali Emanuela Brizio, muncul juara kategori Wanita Terbuka dalam acara Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke23 hari ini, yang memastikannya tempat pertama dalam Skyrunner Siri Dunia 2009.

(Skyrunning membabitkan larian pada altitud tinggi pada tahap 2,000 meter di atas paras laut).

Jururawat berusia 41 tahun itu menamatkan lariannya dalam masa tiga jam, 20 minit dan 15 saat, menewaskan pelari Sepanyol Mireia Miro yang berusia separuh daripada umurnya. Miro menamatkan lariannya dalam masa tiga jam, 33 minit dan 17 saat dalam perlumbaan sejauh 21km itu.

Tempat ketiga diraih Stepanie Jimenez, dari Perancis, yang mencatatkan tiga jam, 34 minit dan satu saat, manakala wakil Malaysia, Danny Kuilin yang memenangi tempat kedua dalam perlumbaan itu tahun lepas, berada di tempat keempat dengan tiga jam, 38 minit dan 27 saat.

Brizio juga memenangi pingat emas setelah muncul peserta pertama tiba di kemuncak dengan masa dua jam, 12 minit dan lima saat.

Brizio, yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya, berkata kemenangannya dalam climbathon, yang mula disertainya pada 2004 dan berada di tempat ketujuh, merupakan tiket baginya untuk merangkul gelaran juara Siri Dunia.

"Semasa perlumbaan, saya berlari seiring dengan Miro, Jimenez dan Danny Kuilin.

"Bagaimanapun, saya berjaya memecut dan ketika berlari turun, saya bersendirian sepanjang larian. Saya tahu saya perlu kekalkan rentak kerana saya sedar Miro sangat bagus dan mahir dalam larian menurun," katanya menerusi seorang jurubahasa mengenai pengalamannya itu sebaik sahaja tiba di garisan penamat di Taman Kinabalu di sini.

Brizio sebelum ini merupakan pendahulu dalam Siri Dunia 2009 bagi kategori wanita, yang merangkumi tujuh perlumbaan iaitu di Costa Rica, Sepanyol, Andorra, Itali, Amerika Syarikat, United Kingdom dan climbathon ini sendiri, sebagai perlumbaan akhir.

Katanya, beliau bermula agak lewat dalam skyrunning iaitu pada usia 32 tahun tetapi melakukan larian gunung yang sama sejak berusia awal 20an.

Sementara itu, Miro, 21, seorang pelajar universiti, boleh berbangga dengan kedudukan kedua beliau memandangkan ini merupakan penyertaan sulungnya dalam acara skyrunning dan climbathon.

Beliau yang kini mengikuti pengajian untuk menjadi guru sukan bagi golongan kurang upaya, berkata sebelum ini beliau aktif dalam ski di pergunungan dan itulah permulaan pembabitannya dalam skyrunning. Katanya jika dibandingkan dengan perlumbaan di Eropah, climbathon itu terbukti mempunyai cabaran tersendiri disebabkan perbezaan cuaca di sini, dan beliau perlu menyesuaikan diri dengan keadaan.

Sementara itu, Kuilin, yang kecewa dengan pencapaiannya, berkata beliau terpaksa berhempas pulas semasa dalam perjalanan turun apabila mengalami kekejangan di kaki kanan dan juga sakit dada.

"Perkara ini tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini. Malah pencapaian saya semasa latihan lebih baik," kata petani berumur 43 tahun itu yang menjangkakan untuk berada dalam tiga tempat teratas. BERNAMA

Artikel Lain