suria

Pedrosa pendahulu sesi latihan

SEPANG: Pelumba pasukan Repsol Honda, Dani Pedrosa setakat ini menjadi pendahulu selepas dua sesi latihan bebas Kejohanan Motosikal Grand Prix Malaysia Shell Advance 2009 di Litar Sepang di sini.

Pelumba Sepanyol berusia 24 tahun ini mencatatkan masa terpantas dua minit 1.427 saat pada pusingan ke12 pada sesi latihan bebas selama sejam di sini pagi ini.

Semalam, beliau mencatatkan 2:02.758s untuk menduduki tempat ketiga.

Mengikuti di belakang dengan jarak masa 0.019s selepas dua sesi latihan ialah juara dunia tujuh kali dari Itali, Valentino Rossi daripada Pasukan Fiat Yamaha.

Sementara itu, pelumba Austalia yang juga juara Grand Prix Australia, Casey Stoner daripada Pasukan Ducati Marlboro berada di tempat ketiga dengan jarak masa 0.058s ketinggalan daripada pendahulu.

Penentuan bagi pelumba petak hadapan ditentukan pada sesi pusingan kelayakan pada petang ini.

Bagi kategori 250cc, pelumba Jepun, Hiroshi Aoyama daripada Pasukan Scot Racing mengekalkan kedudukannya dalam latihan kedua dengan mencatatkan 2:07.160s.

Sementara itu, pelumba Sepanyol Hector Barbera daripada Pasukan Pepe World dan pesaing juara dunia dari Itali, Marco Simoncelli daripada Pasukan Metis Gilera, masingmasing berada di tempat kedua dan ketiga dengan catatan masa 2:07.485s dan 2:07.727s.

Juara dunia kategori 125cc, Julian Simon daripada Pasukan Bancaja Aspar mencatatkan kehebatan tersendiri apabila mendahului sesi latihan dengan masa 2:13.459s.

Beliau diekori dengan jarak masa 0.732s oleh pelumba Pasukan Red Bull KTM Moto Sports, March Marquez dari Sepanyol manakala rakan sepasukan Simon, dari Britain, Bradley Smith berada di tempat ketiga dengan masa 2:14.332s.

Pelumba wildcard Malaysia, Elly Idzlianizar Ilias dan Muhammad Zulfahmi Khairuddin daripada Pasukan Air Asia Team Malaysia, masingmasing berada di tempat ke 27 dan 29 dengan catatan masa 2:18.795s dan 2:19.885s. BERNAMA

Artikel Lain