suria

Mohd Jironi lepasi had kelayakan Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan Mohd Jironi Riduan menjadi atlet tunggal negara hari ini yang berjaya melepasi masa kelayakan ke Sukan SEA di Laos, Disember ini di dalam acara 800 meter selepas berakhirnya Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-86 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Mohd Jironi yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatatkan masa 1 minit 52.23 saat untuk menjuarai acara 800 meter, melepasi masa yang ditetapkan untuk kategori A iaitu 1:52.72s.

Namun kejayaan itu bukan satu jaminan untuk beliau beraksi di Sukan SEA Laos kerana untuk acara itu sahaja dua atlet kebangsaan sebelum ini telah pun layak di dalam kategori A iaitu M.Vadivellan dan S.Mathialagan.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim berkata kejayaan Mohd Jironi itu bermakna beliau akan turut dipertimbang untuk beraksi di Sukan SEA Loas.

"Kita hanya akan menghantar atletatlet yang boleh memberi pingat kepada negara dan tidak mahu mereka sebagai penumpang sahaja ke temasya dwi tahunan itu," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya kejohanan dua hari itu.

KOAM kini mempunyai masa sehingga Selasa ini untuk menyerahkan senarai penuh atletnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk disenaraikan di dalam kategori A iaitu yang layak secara merit dan ditanggung oleh MOM dan kategori B iaitu perbelanjaan atlet yang ditanggung oleh KOAM.

Karim berkata buat masa ini, beliau belum dapat memberikan jumlah sebenar atlet yang akan disenaraikan di dalam kategori B kerana KOAM akan mengadakan satu mesyuarat di dalam masa terdekat untuk memutuskannya.

"Kita akan menilai setiap atlet yang berpotensi melalui catatan yang dilakukan sepanjang tahun serta mendapatkan pandangan dan cadangan daripada jurulatih siapa yang harus dipilih," katanya.

Mengenai nasib dua atlet 110 meter lari berpagar kebangsaan, Mohd Robbani Hassan dan Rayzam Syah Wan Sofian, Karim berkata beliau akan menunggu laporan daripada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kecederaan yang dialami oleh mereka.

Mohd Robbani merupakan juara bagi acara itu pada Sukan SEA 2005 manakala Rayzam Syah merupakan juara di SEA Korat, Thailand dua tahun lepas namun keduaduanya masih gagal melepasi had kelayakan setelah mengalami kecederaan semalam.

Selain Mohd Jironi, turut cemerlang pada hari ini ialah Noraseela Mohd Khalid yang meneruskan penguasaaan di dalam acara 400 meter lari berpagar dengan mencatatkan masa 56.92 saat, setelah menguasai 400 meter semalam.

Melinda Kaur turut menceriakan kem negara apabila memenangi acara 3,000 meter lari berhalangan dengan mencatatkan masa 11 minit 04.20s menewaskan dua peserta dari Iran namun acara itu tidak dipertandingkan di Sukan SEA Laos. Karim bagaimanapun berkata disebabkan kecemerlangan dan potensi yang ditunjukkan itu, Melinda mungkin akan dipertimbangkan untuk berlari di dalam acara 5,000 meter di Loas nanti.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung selama dua hari merupakan platform terakhir bagi atletatlet kebangsaan untuk melayakan diri ke Sukan SEA dengan 12 atlet termasuk Mohd Jironi telah mengesahkan tempat di dalam kategori A.

Pada kejohanan yang mendapat penyertaan 12 negara ini, Malaysia muncul juara keseluruhan di peringkat antarabangsa apabila meraih 15 emas, 12 perak dan 20 gangsa diikuti Thailand (10 emas,5 perak,6 gangsa) dan Taiwan (5 emas,3 perak,1 gangsa) di tangga kedua dan ketiga.

Di peringkat kebangsaan, ATM muncul juara keseluruhan apabila meraih 29 emas, 16 perak dan 14 gangsa diikuti Sarawak dan Kedah. BERNAMA

Artikel Lain