suria

Pasukan tinju dan takraw berlatih di Thailand

ALOR SETAR: Pasukan tinju dan sepak takraw Kedah akan dihantar menjalani latihan di Thailand sebagai persiapan menghadapi Sukma ke13 di Melaka, Jun tahun depan.

Exco Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian dan Warisan Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata Thailand dipilih sebagai lokasi latihan berdasarkan reputasi cemerlang negara itu dalam sukan tinju dan takraw pada peringkat dunia.

"Pasukan takraw dan tinju Kedah akan menjalani latihan di beberapa tempat di Thailand sebelum menyertai Sukma di Melaka tahun depan.

"Kita sedia maklum akan kehebatan Thailand dalam acara ini dan kita harap atlet Kedah akan lebih bersedia menghadapi Sukma selain memastikan atlet yang akan membawa cabaran negeri membuat persediaan yang mencukupi," katanya kepada Bernama di sini.

Selain itu, katanya pasukan tinju dan sepak takraw diberi peluang untuk berlatih di luar negara kerana prestasi baik yang dipamerkan atlet sukan itu pada beberapa kejohanan.

"Tinju telah menyumbang dua pingat emas ketika Sukma di Terengganu manakala sepak takraw juga menunjukkan prestasi membanggakan apabila meraih 1 emas 1 perak dan 1 gangsa pada temasya yang sama," katanya.

Sementara itu, Hamdan berkata kontinjen Kedah mensasarkan untuk meraih 35 pingat emas dan mensasarkan untuk berada pada enam kelompok terbaik dari segi kutipan pingat.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta merangkumi persediaan keseluruhan kontinjen menghadapi Sukma.

Katanya jumlah tersebut termasuk kos ketika berada di Melaka sepanjang temasya tersebut berlangsung.

Pada Sukma ke-12 di Terengganu yang lepas, Kedah menduduki tempat keenam apabila meraih 29 emas, 27 perak dan 39 gangsa. BERNAMA

Artikel Lain