suria

Yang di-Pertuan Agong sertai kejohanan kuda lasak di Cherating

KUANTAN: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai Kejohanan Cabaran Kuda Lasak PahangPENN yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata kejohanan kali kedua di Cherating dekat sini turut menarik penyertaan 130 orang dari enam negara iaitu Jerman, Perancis, Singapura, Thailand dan Indonesia.

"Difahamkan Yang diPertuan Agong akan menunggang kuda bernama Tarjari Moonlight Pharoah bagi kategori 100 kilometer (km)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wan Adnan berkata kejohanan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 100km, 60km dan 20km itu akan dimeriahkan dengan penyertaan dua anakanda Tuanku Mizan iaitu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah.

"Kejohanan itu merupakan kejohanan pertama yang menggunakan trek di Pahang International Endurance Park, Cherating yang pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan berkeluasan 250 ekar," kata Wan Adnan.

Katanya trek kejohanan itu merupakan trek kedua selepas Lembah Bidung, Terengganu dan kewujudannya dapat membantu memperkembangkan sektor pelancongan dan minat rakyat terhadap sukan berkuda. BERNAMA

Artikel Lain