suria

Terengganu anjur kejohanan Ping Pong untuk pemain pantai timur

KUALA TERENGGANU: Persatuan Ping Pong Terengganu buat julung kalinya akan menganjurkan Kejohanan Ping Pong Terbuka Terengganu yang menampilkan pemain dari negeri-negeri di pantai timur bermula 22 hingga 24 Okt ini.

Setiausaha PPT Mohamed Taib berkata matlamat kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk merebut Piala Datuk Rahin Mohd Said itu adalah untuk menguji pemain-pemain yang akan mewakili negeri-negeri di pantai timur ke Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka tahun depan.

"Inilah satu gelanggang terbaik bagi negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu untuk melihat pencapaian atlet masing-masing sebelum Sukma bermula," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata kejohanan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM10,000 terbahagi kepada empat kategori iaitu berpasukan lelaki, perseorangan lelaki, perseorangan wanita serta beregu wanita, dan kejohanan itu akan diadakan di Dewan Persatuan Ping Pong Terengganu, Bukit Jong, Jalan Kelantan di sini.

Mohamed berkata bayaran penyertaan ialah RM50 untuk acara berpasukan, perseorangan RM5 dan beregu RM8 seorang dan bayaran boleh dibuat sebelum tarikh tutup penyertaan 12 Okt ini kepada setiausaha atau penolong setiausaha persatuan.

Penyertaan boleh dibuat melalui borang khas yang disediakan dan borang itu boleh dihantar kepada Mohamed di alamat 11439 Depan Kuari Bukit Jong, Jalan Kelantan atau Mohd Rizal Ghazali, D565, Kampung Paloh, Sungai Kiat atau melalui Persatuan Ping Pong Terengganu. BERNAMA

Artikel Lain