suria

Piala Sultan Selangor: Kekalahan berganda Selangor di Kota Singa

SINGAPURA: Hasrat Selangor untuk menjulang dan mempertahankan Piala Sultan Selangor edisi kelapan lebur apabila tumpas 0-3 kepada Singapura pada perlawanan di Stadium Jalan Besar, Ahad malam.

Singapura yang membariskan pemain-pemain kebangsaan nyata menguasai perlawanan seawal minit pertama dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya melalui gandingan Aleksandar Duric serta kapten pasukan, Indra Sahdan Daud.

Kesungguhan mereka menguji penjaga gol Selangor, Mohd Hamsani Ahmad akhirnya berhasil pada minit ke-28 apabila Indra Sahdan meledak dengan gol pembukaan hasil percubaan dari luar kotak penalti.

Jaringan itu jelas membakar semangat anak-anak buah jurulatih Radojko Avramovic yang berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-34 melalui Duric (Aleksandar) setelah menolak masuk bola ke dalam gol hasil hantaran rakan sepasukan dari sebelah kanan pintu gol Selangor.

Walaupun anak-anak buah jurulatih K.Devan cuba bangkit mengatur serangan untuk merapatkan kedudukkan buat Selangor, sebaliknya yang berlaku apabila Singapura menambah gol ketiga pada minit ke-45 apabila pemain kelahiran England, John Wilkinson menyempurnakan sepakan percuma untuk keputusan 3-0 separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor terus cuba untuk mengurangkan jaringan gol dengan melakukan empat pertukaran termasuk memasukkan Rudie Ramli untuk bergandingan dengan Mohd Safee Sali di bahagian serangan.

Percubaan terbaik Selangor untuk menjaringkan gol adalah pada minit ke-68 apabila rembatan Mohd Safee sekadar menggegar palang gol walaupun penjaga gol lawan, Hassan Sunny telah pun tertewas.

Mengulas mengenai kekalahan itu Devan berkata faktor kepenatan memang tidak boleh dinafikan setelah menentang Kuala Muda Naza pada Jumaat lepas di Stadium Shah Alam dalam saingan Piala Malaysia.

"Pemain-pemain Selangor tidak dapat bermain seperti biasa malah tidak dapat mengikut arahan taktikal yang telah diberikan kerana kepenatan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Beliau berkata adalah strateginya untuk pemain-pemain bertahan pada separuh masa pertama kerana sedar akan kekuatan Singapura namun kesilapan terjadi kerana mereka membenarkan pemain-pemain lawan menguasai lebih banyak bola di kawasan sendiri.

Kemenangan ini membolehkan Singapura yang di dalam persiapan untuk menghadapi Thailand pada 14 Nov depan pada perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan piala manakala Selangor sekadar mendapat RM10,000.

Sementara itu pada perlawanan yang membabitkan pemainpemain veteran keduadua pasukan, Singapura turut berjaya menebus kekecewaan tahun lepas apabila menumpaskan veteran Selangor 4-1 melalui sepakan penalti.

Terdahulu pada masa perlawanan sebenar (20 minit untuk setiap separuh masa), kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan Singapura membuka jaringan melalui Salim Moin pada minit ke-23 melalui sepakan penalti.

Gol itu bagaimanapun hanya bertahan seminit (m24) apabila Abdul Muin Rahim melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol veteran Singapura, Yacob Hashim untuk keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat.

Hampir 5,000 penyokong kedua-dua pasukan hadir memberikan sokongan yang turut disaksikan sendiri oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Presiden Singapura S.R Nathan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain