suria

Davydenko dan Verdasco berentap pada perlawanan akhir tenis Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain nombor lapan dunia Nikolay Davydenko dari Russia akan menentang Fernando Verdasco dari Sepanyol pada perlawanan akhir Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia di Stadium Putra di sini hari ini.

Pada saingan separuh akhir semalam, Davydenko, pemain pilihan utama, berjaya mengatasi pemain Sweden Robin Soderling 1-6, 7-6(1), 6-2 dalam masa dua jam empat minit.

"Saya suka menjuarai kejohanan ini. Saya yakin dengan kemenangan ini tetapi setiap perlawanan adalah berbeza. Saya pernah melalui beberapa perlawanan sengit sebelum ini dengan Verdasco," kata Davydenko, 28, yang berasal dari Volgograd, Russia.

Bagaimanapun, Davydenko terkejut apabila Soderling menampilkan persembahan cemerlang pada set pertama.

"Saya memang tidak mempunyai peluang. Saya berpendapat jika dia meneruskan rentak yang sama, mungkin saya tidak mempunyai peluang. Saya terus memberi tekanan pada set kedua dan berjaya menang dengan 'tiebreak'," katanya yang memburu gelaran ATP ketiga tahun ini selepas Terbuka Jerman dan Terbuka Croatia.

Mengulas pertemuan dengan Verdasco hari ini, Davydenko berkata beliau telah mengatasi pemain itu 6-2, 6-2, 6-4 pada suku akhir Kejohanan Roland Garros di Perancis tahun ini.

Sementara dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Verdasco, pemain nombor sembilan dunia, menebus kekecewaan pada Kejohanan Terbuka Banco Sabadell 2009 di Barcelona apabila menewaskan Fernando Gonzales dari Chile 6-4, 7-5 dalam masa sejam 32 minit.

"Ini adalah persembahan terbaik saya di mana saya dapat mematahkan corak permainan Gonzales dalam dua set," kata Verdasco.

Mengenai perlawanan akhir hari ini, Verdasco berkata beliau tidak memikirkan rekod pertemuan dengan Davydenko tetapi lebih memikirkan untuk menjuarai perlawanan itu.

"Saya berpendapat bahawa saya mempunyai peluang mengatasi Davydenko kerana saya pernah menewaskannya sebelum ini," kata pemain dari Madrid itu.

Juara perseorangan akan membawa pulang wang tunai US$154,000 (RM539,000) serta 250 mata ATP manakala naib juara pula akan menerima US$81,000 (RM283,500). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain