suria

Tenis Terbuka Malaysia : Bopanna, Aisam mara ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Pemain India Rohan Bopanna dan pemain Pakistan AisamUIHaq Qureshi membuktikan bahawa warga Asia merupakan kuasa yang sedang muncul dalam tenis antarabangsa bila regu lelaki itu melakukan upset besar dengan menumpaskan pasangan pilihan keempat Simon Aspelin dari Sweden dan Paul Hanley, dari Australia, dalam set langsung di Terbuka Proton Malaysia yang pertama di Stadium Putra di Bukit Jalil.

Regu India-Pakistan itu mendominasi permainan dari awal hingga akhir dengan pencapaian 6-3, 6-4 dalam tempoh sejam.

Dalam jadual perlawanan utama seterusnya bagi pusingan kedua, Rohan dan Aisam akan berdepan sama ada pasangan Karol Beck (Solvakia) dan Jordan Kerr (Australia), atau Igor Kunitsyn (Russia) dan Jaroslav Levinsky (Czech Republic) pada Rabu.

Dalam satu lagi perlawanan regu, pasangan Stephen Huss (Australia) dan Scott Lipsky (Amerika Syarikat) menumpaskan Christopher Rochus (Belgium) dan Martin Vassallo Arguello (Argentina) 6-4, 6-3.

Dalam tiga perlawanan perseorangan lelaki, dua pemain entri wildcard, peserta Amerika Taylor Dent mengalahkan Andrey Golubev, Kazakhstan 4-6, 6-3, 7-6 (4), dan Marcos Baghdatis, Cyprus menang ke atas Lu YenHsun, China Taipei 4-6, 6-3, 7-6(5).

Sementara dalam perlawanan 'all American', Brendan Evans menundukkan Michael Yani 6-3, 6-4. BERNAMA

Artikel Lain