suria

Skuasy Terbuka Dunia: Nicol - Natalie berentap dalam perlawanan akhir

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia dan juara bertahan dari Malaysia Datuk Nicol David bakal mengekalkan gelaran Terbuka Dunia buat kali keempat selepas beliau berjaya mengharungi perlawanan sengit menentang Alison Waters pada kejohanan Terbuka Dunia Wanita (WWO) di Amsterdam pada Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di gelanggang kaca Frans Otten Stadion, Nicol mengambil masa 62 minit untuk menjinakkan Waters 4-11, 11-6, 15-13 dan 11-7.

"Beliau (Waters) bermain cemerlang hari ini, yang terbaik dalam pertemuannya dengan saya, saya langsung tidak boleh memberikan sebarang peluang kepadanya, dan pada setiap kali beliau mendapat peluang, beliau memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

"Saya berasa yakin setelah meraih tiga mata pertama, selepas itu beliau menguasai permainan. Selepas kalah pada set pertama, saya cuba menumpukan pada set seterusnya...untuk terus bertahan dan melupakan kekalahan itu daripada fikiran saya.

"Dan dalam set ketiga, saya hanya menumpukan untuk meraih mata seterusnya dan terus mengejar bola. Esok, perlawanan akhir Dunia, saya sudah bersedia untuk menghadapinya," kata Nicol seperti dipetik dalam laman web rasmi kejohanan, www.womensworldopen.com.

Berikutan kemenangan itu, beliau akan bertemu Natalie Grinham dari Belanda dalam perlawanan akhir.

Sebelum ini, keduadua mereka bertemu dalam perlawanan akhir Masters Skuasy Wanita Singapura CIMB pada Ogos, dengan Nicol mengekalkan gelarannya buat kali ketiga.

Untuk rekod, Nicol memenangi Terbuka Dunia di Manchester (2008), Belfast (2006) dan Hong Kong (2005).

Pada 2007, beliau tewas kepada Rachael Grinham pada perlawanan akhir kejohanan yang berlangsung di Madrid, Sepanyol.

Sementara itu, Natalie menewaskan kakaknya yang juga juara Terbuka British, Rachael untuk mara ke perlawanan akhir.

Dalam perlawanan separuh akhir yang hanya berlangsung selama 37 minit, Natalie tunduk kepada Rachael 11-13 dalam set pertama tetapi beliau mendapatkan semula rentak permainan dan memenangi set seterusnya dengan 11-6, 11-6 dan 11-4.

Perlawanan akhir Terbuka Dunia Wanita 2009 antara Nicol dan Natalie akan berlangsung pada 2 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) hari ini. BERNAMA

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain