suria

Pemain badminton negara kena tanya diri sendiri untuk atasi kegagalan - Shabery

KEMAMAN: Pemain-pemain badminton negara perlu bertanyakan diri sendiri apa lagi yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan prestasi konsisten mereka dalam setiap kejohanan yang disertai, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau tidak menafikan beberapa keputusan perlawanan kejohanan badminton yang disertai skuad negara sejak kebelakangan ini agak mengecewakan terutama kepada peminat sukan itu di tanahair.

"Pemain itu sendiri kena bertanyakan diri mereka apa yang mereka perlukan dari kerajaan untuk menaikkan prestasi... kena bagi tahulah.

"Kalau perlukan wang, kita sudah tawarkan hadiah insentif yang besar, nak latihan kita dah sediakan tempat, dan kita juga ada Institut Sukan Negara, khas untuk menjaga soal kecergasan dan pemakanan. Jadi apa lagi yang mereka mahu dari kerajaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan pemainpemain badminton negara di kejohanan Badminton Terbuka Jepun.

Antara pemain badminton yang kecundang di kejohanan itu termasuk pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei yang tumpas kepada pemain Indonesia, Simon Santoso, pada pusingan kedua kejohanan itu dengan mata 21-19, 15-21, 19-21 ekoran dibelenggu masalah kecederaan.

Turut gagal mengalas cabaran negara dalam kejohanan itu ialah beregu wanita negara Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari yang tewas pada peringkat suku akhir semalam, melengkapkan aksi hambar Malaysia di Tokyo.

Ahmad Shabery berkata pemain perlu jujur pada diri sendiri dan perlu memaklumkan kepada pihak berkenaan jika sekiranya mereka cedera serta tidak mampu untuk mewakili negara dalam sesuatu kejohanan untuk mengelakkan mereka mengecewakan peminat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain