suria

Sukan bola tampar boleh berkubur

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) melahirkan kebimbangan sukan bola tampar di negara ini akan terus dilupakan jika sekiranya sukan itu disingkirkan dari Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka, tahun depan.

Naib Presiden Mava Mohd Nasir Yusof berkata Mava akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam masa terdekat bagi mengemukakan rayuan supaya sukan bola tampar dipertandingkan dalam kejohanan dwitahunan itu.

"Mava melihat masa depan sukan bola tampar akan hancur sekiranya sukan itu tetap tidak disenarai untuk dipertandingkan dalam Sukma tahun depan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nasir yang juga Presiden Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) berkata, Mava telah mengadakan perjumpaan dengan persatuanpersatuan bola tampar negeri yang bergabung dengan Mava dan bersepakat untuk menemui menteri bagi membincangkan tentang perkara itu.

Negerinegeri berkenaan ialah Terengganu, Melaka, Kedah, Johor, Selangor, Pahang, Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Nasir berkata Mava bimbang sekiranya menteri yang berkenaan juga tidak dapat menyelesaikan masalah ini, kemungkinan sukan bola tampar akan berkubur dan tidak lagi mendapat sambutan di negara ini.

Mengulas lanjut, Nasir berkata Mava bersedia membantu sekretariat Sukma dalam apa juga hal melibatkan sukan itu sekiranya mereka tidak mempunyai kepakaran dalam pengajuran sukannya.

Nasir berkata beliau difahamkan bahawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rostam bersetuju untuk memasukkan acara bola tampar di Sukma selepas Persatuan Bola Tampar Melaka merayu.

Bagaimanapun, beliau berkata kata pemutus perkara tersebut akan ditentukan oleh Jawatankuasa Induk Sukma yang dijadualkan akan bersidang dalam tempoh terdekat.

"Cuma menteri sahaja yang dapat menyelamatkan sukan bola tampar daripada menempuh zaman kegelapan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain