suria

Berbasikal: Skuad trek kebangsaan sertai empat siri Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Skuad trek kebangsaan akan menyertai kesemua empat siri Piala Dunia yang akan dipertandingkan tahun ini bagi memastikan lebih ramai pelumba negara layak beraksi ke Kejohanan Dunia di Denmark, Mac tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohammad berkata keputusan itu diambil bagi memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang mahu sesebuah negara itu menyertai kesemua siri Piala Dunia.

"Pada tahun lepas, kita hanya menyertai dua siri sahaja iaitu di Beijing dan Melbourne di mana tiga pelumba negara layak untuk beraksi di dalam Kejohanan Dunia pada awal tahun ini sedangkan ramai lagi boleh layak seperti Fatehah Mustapa," katanya kepada pemberita di sini. Pada tahun ini, siri Piala Dunia akan bermula di Manchester (Oktober), Melbourne (November), Cali, Columbia (Disember) dan Beijing, China (Januari 2010).

Pada Kejohanan Dunia yang berlangsung Mac lepas di Poland, Malaysia berjaya memenangi dua pingat perak dan gangsa melalui Mohd Azizulhasni Awang (200 meter pecut) dan Mohd Rizal Tisin (1 kilometer ujian masa).

"Kita juga berbangga kerana pada masa kini pelumbapelumba negara mempunyai sikap dan keazaman untuk menang, bukan lagi untuk mencari pendedahan dan pengalaman," kata Naim.

Naim juga menjelaskan kepentingan pelumbapelumba kebangsaan menyertai pelbagai kejohanan di peringkat antarabangsa merupakan sasaran jangka panjang untuk membaiki ranking mereka bagi memastikan dapat layak secara merit ke Sukan Olimpik London 2012.

"Mengikut starategi, PKBM mahu pasukan pecut (tiga pelumba) dapat layak secara merit. Jika berjaya, mereka akan turut menempah satu lagi tiket di dalam acara keirin dan 200 meter pecut.

"Selain itu berdasarkan kepada keadaan semasa, kita juga mungkin akan mendapat satu lagi tempat di dalam acara keirin dan 200 meter pecut, jadi kita akan mendapat dua tempat di dalam keduadua acara itu sekaligus mencerahkan peluang memenangi pingat terutamanya keirin yang memerlukan percaturan strategi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain