suria

KAFA beri amaran keras kepada Halim Napi

KOTA BHARU: Penjaga gol Kelantan, Halim Napi diberi amaran keras oleh Persatuan Bola sepak Kelantan (Kafa) supaya tidak mengulangi insiden memukul pemain atau sekali lagi berdepan tindakan disiplin daripada persatuan itu.

Naib Presiden Kafa, Mohd Affandi Hamzah, berkata pemain itu akan menghadapi tindakan sama ada tidak akan diturunkan dalam kesebelasan skuad wira merah dalam liga tahun ini, tindakan disiplin jika gagal menunjukkan prestasi memuaskan atau melakukan kesalahan melanggar disiplin.

"Walaupun Halim sudah tamat tempoh penggantungannya, tapi kita tetap membuat pemantauan sama ada dia mampu menunjukkan prestasi permainan memuaskan atau tidak melakukan kesalahan disiplin seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut menyampaikan sumbangan wang hari raya kepada pihak pengurusan dan pemainpemain bola sepak Kelantan. Halim digantung perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana didapati bersalah menyerang pemain Negeri Sembilan Aidil Zafuan Abdul Radzak sebaik sahaja perlawanan separuh akhir pertama Piala FA tamat di Stadium Sultan Mohamed KeIV pada 7 April lepas.

Hamzah berkata, KAFA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas jika tindakan manamana pemain boleh mencemarkan imej KAFA.

Bagaimanapun, katanya, Halim sudah memberi jaminan untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam skuad wira merah dalam pertemuan berikutnya dalam saingan Piala Malaysia kelak.

"Jadi isu penggantungan Halim dalam skuad wira Merah Kelantan kini tidak berbangkit lagi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain