suria

Nicol, Azlan mara tapi Beng Hee gagal Terbuka British

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy Malaysia dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar mara ke peringkat suku akhir kejohanan skuasy Terbuka British di Manchester, hari ini.

Bagaimanapun, laluan Ong Beng Hee dihalang pemain tuan rumah dan pilihan keempat kejohanan James Willstrop daripada mara ke suku akhir.

Menurut laman web www.squashsite.co.uk, Nicol menewaskan pemain bukan pilihan tuan rumah Lauren Briggs dengan set terus 115, 114 dan 115 yang berlangsung hanya 28 minit dan akan bertemu dengan pilihan kelima kejohanan Madeline Perry dari Ireland dalam suku akhir esok.

Sebelum itu, Perry menewaskan Line Hansen dari Denmark juga dalam set terus 11-9, 11-5 dan 11-2 dalam 31 minit.

Sementara itu, Mohd Azlan, pilihan ke-12, terpaksa berhempas pulas semasa menentang pemain Perancis Thierry Lincou yang berlangsung lebih sejam.

Lincou, pemain pilihan ketujuh kejohanan mendahului dengan 13-11 tetapi Mohd Azlan menyamakan kedudukan 11 dalam set kedua dengan 11-4.

Dalam set ketiga, Lincou pulih dengan cepat selepas kekalahannya dengan 11-5 dan Mohd Azlan telah memaksa beliau bermain melebihi had untuk menyamakan permainan 14-12.

Bagaimanapun, Mohd Azlan berjaya mengawal keadaan bagi set penentuan dengan 11-5 untuk mara ke suku akhir. Beliau akan bertemu Willstrop.

Sementara itu, Willstrop mara ke suku akhir selepas pilihan utama kejohanan Karim Darwis dari Pakistan menarik diri semasa set kedua permainan akibat kecederaan.

Selepas permainan yang hebat dalam pusingan pertama semalam, Beng Hee tewas 7-11, 7-11 dan 8-11 kepada pemain England, Peter Barker dalam permainan yang berlangsung selama sejam enam minit. BERNAMA

Artikel Lain