suria

Pembinaan pusat pembangunan paralimpik akan bermula Oktober ini

KUALA LUMPUR: Pembinaan pusat pembangunan paralimpik di Kampung Pandan kini di peringkat terakhir penentuan tender dan kerja-kerja pembinaannya akan bermula Oktober depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pembinaan pusat yang dianggarkan menelan belanja lebih RM40 juta itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan latihan untuk atlet-atlet paralimpik negara.

"Saya boleh katakan bahawa Pusat Pembangunan Paralimpik itu akan menjadi pusat pembangunan sukan paralimpik yang terbaik di rantau ini. Pusat itu bukan sahaja menyediakan kemudahan latihan tetapi juga penginapan dan juga perubatan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara (Shakam) kepada pemenang pingat emas Sukan Para Asean di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata pusat itu yang dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dapat membantu persiapan atlet paralimpik negara dalam menghadapi Sukan Paralimpik London pada 2012.

Pada majlis semalam, atlet pingpong Koh Zhi Liang mendahului atlet lain dalam jumlah pungutan wang tunai sebanyak RM12,812 kerana memungut empat pingat emas dalam acara berpasukan dan perseorangan Kelas 9 serta beregu dan terbuka lelaki pada temasya dwitahunan Sukan Para Asean Kelima pada Ogos lepas.

Koh berkata beliau "sangat gembira dengan pemberian insentif itu yang secara tidak langsung mendorongnya untuk berusaha lebih gigih lagi dalam acara ini.

"Sasaran saya seterusnya ialah untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London 2012," katanya.

Selain Koh, dua atlet olahraga iaitu Mohd Fazli Fauzil dan Mohd Azlan Yusof masing-masing menerima RM10,624 dan RM9,375.

Turut menerima imbuhan ialah 83 atlet lain.

Pada temasya berkenaan, Malaysia yang dibarisi 225 orang atlet berjaya mengutip 94 emas, 81 perak dan 71 gangsa untuk menduduki tangga kedua kutipan pingat pada Sukan Para Asean kelima. BERNAMA

Artikel Sebelum

Liga Perdana England

Artikel Lain