suria

Harapan Malaysia raih kejuaraan perahu layar Asia

LANGKAWI: Malaysia menaruh harapan meraih kejuaraan pada Kejohanan IODA Optimist Asia 2009 yang akan berlangsung di sini mulai 12 hingga 20 Disember ini.

Naib presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Hairuddin Hassan hari ini berkata, skuad pelayar Malaysia sedang membuat persiapan rapi termasuk menjalani latihan pada bulan Ramadan ini.

Pada kejohanan tahun lepas di Qatar, Malaysia muncul naib johan di belakang Thailand dalam acara berpasukan manakala China meraih kejuaraan individu, katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penganjur kejohanan itu di sini.

Katanya 14 pelayar akan membawa cabaran Malaysia termasuk lima pelayar yang mengharumkan nama negara meraih pasukan terbaik memenangi "The Miami Herals Tropy" pada Kejohanan Layar Optimist IODA Dunia 2009 di Niteroi, Brazil bulan lepas yang disertai 211 pelajar dari 45 negara.

Mereka ialah Mohamad Faizal Norizan, Mohamad Farhan, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan, Ahmad Shukri Abdul Aziz dan Nurliyana Mohamad Latif.

Beliau yakin pengalaman dan pencapaian cemerlang di Brazil dapat digunakan bagi mengharung cabaran pada kejohanan itu di samping kelebihan bertanding di gelanggang sendiri.

Mengenai penyertaan pada kejohanan itu, Hairuddin berkata setakat ini sebanyak 23 negara termasuk 15 negara Asia mengesahkan penyertaan membabitkan lebih 150 pelayar.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Amerika Syarikat, Poland, Belgium, Australia, New Zealand, Qatar, Singapura, Thailand, China, Jepun dan Korea.

Katanya setiap negara dibenarkan menghantar tujuh pelayar manakala Malaysia selaku tuan rumah boleh menghantar 14 pelayar.

Kejohanan itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan. BERNAMA

Artikel Lain