suria

Mohd Rizal bimbang prestasi merosot tanpa latihan di Melbourne

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek kebangsaan, Mohd Rizal Tisin, kini bimbang prestasinya akan merosot gara-gara belum mendapat kata putus mengenai tarikh sebenar untuk kembali berlatih di Melbourne di bawah kendalian ketua jurulatih kebangsaan John Beasley.

Pelumba kelahiran Klang itu berkata terdapat kemungkinan beliau akan pergi ke bandar raya Australia itu penghujung bulan ini seperti yang maklumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) namun keputusan itu belum muktamad.

"Rakanrakan yang lain telahpun menjalani latihan di Melbourne sejak bulan lepas dan yang terbaru pelumba pelapis, Mohd Adiq Hussainie Othman yang berlepas semalam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Rizal berkata beliau kini hanya menjalani latihan di bawah kendalian seorang jurulatih kebangsaan, Mohd Fairuz Izni Abdul Ghani di Bukit Jalil.

"Saya juga tidak dibekalkan dengan program latihan daripada Beasley selepas Kejohanan Berbasikal Asia di Indonesia bulan lepas, jadi latihan saya sekadar mengekalkan kecergasan sahaja," katanya.

Mengenai ketiadaan acara satu kilometer ujian masa di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, Mohd Rizal berharap penganjur akan memasukkan acara itu.

"Saya berhasrat untuk memenangi pingat emas untuk negara kerana kali terakhir sukan berbasikal memenanginya pada temasya itu adalah pada era 1970an," katanya.

Mohd Rizal berkata jika penganjur berkeras juga, harapannya untuk mengharumkan nama negara adalah pada Sukan Komanwel yang juga berlangsung pada tahun depan.

"Namun peluang untuk memenangi emas adalah sukar kerana terdapat pelumbapelumba dari Britain yang sememangnya kuat dalam acara trek," katanya.

Mohd Rizal adalah pemegang rekod Asia bagi acara satu kilometer ujian masa dengan catatan satu minit 01.658 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia di Poland tahun lepas untuk meraih pingat gangsa. BERNAMA

Artikel Lain