suria

KL'09: Malaysia raih emas terakhir boling

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih pingat emas terakhir yang ditawarkan di gelanggang boling temasya Sukan Para Asean kelima (KL'09) iaitu dalam kategori berpasukan TPB1, TPB2 dan TPB3 campuran (cacat penglihatan) hari ini.

Dalam saingan di Kuala Lumpur Megalanes, Endah Parade di sini, pingat emas itu diperolehi menerusi gandingan Loh Moi Moi, Ku Izham Ku Harun, Muhammad Suhaili Abdul Hamid dan Choo Kam Chan.

Kuartet negara itu berjaya melakukan 3,370 jatuhan pin meninggalkan saingan terdekat, Thailand dengan perbezaan 667 jatuhan pin. Sepanjang acara boling KL'09 berlangsung, Malaysia meraih lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan kesemua atlet kita pada Sukan Para Asean kali ini. Ia adalah sebahagian daripada ujian dari segi ketahanan mental khususnya dalam menghadapi saingan semasa bertanding," kata ketua jurulatih skuad tenpin boling paralimpik negara, Steven Teng kepada Bernama. Menurut beliau, saingan di sini boleh dikatakan tidak begitu sengit memandangkan tidak semua negara Asean mengambil bahagian.

"Kali ini hanya tiga negara sahaja yang ambil bahagian. Singapura yang mempunyai pemain boling kategori cacat penglihatan yang handal juga tetapi tidak menghantar penyertaan.

"Secara purata agak sukar untuk mengukur prestasi sebenar atlet kita. Apa yang penting, saya dan jurulatih lain dalam skuad mahu atlet membina kekuatan mental mereka bagi menghadapi saingan yang lebih besar," kata Teng.

Tumpuan latihan selepas ini tertumpu ke arah persediaan menghadapi Kejohanan Piala APC yang dijadual berlangsung pada November di Taiwan dan temasya Sukan Para Asia di Guangzhou, China tahun depan.

"Boleh dikatakan 80 peratus penyertaan di Piala APC adalah negara-negara peserta di Sukan Para Asia Guangzhou. Negara-negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan adalah pesaing terhandal dalam sukan boling akan mengambil bahagian. Di Kejohanan Piala APC baru kita dapat mengukur sejauh mana prestasi atlet kita," katanya.

Selain Teng, skuad boling paralimpik negara turut mendapat khidmat bekas pemain boling kebangsaan Choy Poh Lai, Micky Un dan Eddy Yusoff Saini sebagai jurulatih. BERNAMA

Artikel Lain