suria

Labuan anjur larian 1MALAYSIA Ahad ini

LABUAN: Rakyat Labuan akan meraikan semangat 1Malaysia dengan penganjuran buat julung kalinya acara larian bertemakan patriotik. Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal berkata tujuan Larian 1Malaysia 2009 dianjurkan untuk melahirkan tanda sokongan kepada kerajaan dalam menyuntik semangat persefahaman mengikut konsep 1Malaysia.

"Kami bangga menganjurkan program ini. Tambahan pula, Labuan menjadi wilayah pertama di Malaysia menganjurkan larian tersebut.

"Sekiranya idea mewujudkan "Bangsa Malaysia" dalam Wawasan 2020 menjadi agenda terakhir, jadi 1Malaysia adalah panduan dan penggerak untuk mencapai impian itu," katanya.

Larian sejauh 3km bermula dari Dataran Labuan dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Labuan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Labuan, Radio Malaysia Labuan, Jabatan Hal Ehwal Khas, Muzium Labuan dan Perbadanan Labuan.

Peserta terdiri daripada jabatan kerajaan dan sektor swasta, pelajar sekolah dan Universiti Malaysia Sabah Labuan.

Ia mendapat tajaan dari Lembaga Perkhidmatan Pesisir Kewangan Labuan (LOFSA), Asian Supply Base (ASB), Petronas Methanol, Sabah Shell, Labuan Liberty Port Management (LLPM), Bintulu Port Sdn Bhd dan Rak Perdana Holdings. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain