suria

KL'09 tetap meriah di sebalik penularan wabak H1N1

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur sekali lagi akan menjadi tumpuan apabila kira-kira 1,200 atlet paralimpik dan pegawai hadir untuk beradu kehebatan dan kemampuan masingmasing pada Sukan Para Asean kelima (KL'09) yang bermula Sabtu ini.

Temasya sukan dwitahunan itu adalah temasya sukan terbesar bagi atlet paralimpik di rantau ini dan ia melibatkan penyertaan atlet dari 10 buah negara anggota Asean dan Timor Leste.

Walaupun kini dunia dilanda penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), namun 11 negara itu mengetepikan kebimbangan itu untuk menjayakan temasya sukan berkenaan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean (KLAPGOC) berkata saringan kesihatan atletatlet di negara masingmasing termasuk di Malaysia merupakan langkah awal bagi mengelakkan wabak itu daripada tersebar semasa kejohanan tersebut.

"Kesemua atlet dan pegawai kontinjen akan menjalani saringan kesihatan yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya kesemua langkah awal yang diambil adalah bagi memastikan KL'09 bebas daripada penularan Influenza A (H1N1), dengan antaranya meminta setiap anggota kontinjen luar mengemukakan sijil kesihatan bebas daripada wabak tersebut dari negara masing-masing.

"Kalau boleh, MPM mahu saringan kesihatan terhadap kontinjen luar dilakukan berasingan serta lebih teliti dan bukan bersama dengan orang awam yang lain. Ini bagi memastikan anggota kontinjen luar yang tiba benarbenar bebas daripada wabak tersebut," katanya.

Zainal berkata wabak tersebut merupakan ancaman di seluruh dunia termasuk rantau Asia Tenggara dan tidak tertumpu di sesebuah negara sahaja.

Tinjauan Bernama semasa menyambut ketibaan kontinjen luar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mendapati anggota kontinjen asing diberikan keistimewaan melalui laluan dan pusat saringan kesihatan khas dan tidak menggunakan laluan penumpang biasa.

Ini adalah kali kedua Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Para Asean. Kali pertama Malaysia menganjurkannya ialah pada 2001.

Pada edisi pertama itu, hanya dua acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga dan renang, di mana Malaysia muncul juara keseluruhan.

Perancangan asal, temasya Sukan Para Asean diadakan selepas penganjuran Sukan SEA yang dikhususkan untuk atletatlet normal.

Penganjuran Sukan Para Asean pada kebiasaannya berlangsung selepas temasya Sukan SEA dan ia mula diadakan pada 2001 dengan Malaysia menjadi tuan rumah diikuti Vietnam (2003), Filipina (2005) dan Thailand pada 2008.

Memandangkan Laos, penganjur temasya Sukan SEA tahun ini telah menolak untuk menganjurkannya kerana kekurangan infrastruktur dan sumber kewangan, Malaysia telah dipilih Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) sebagai penganjur bagi mengekalkan kesinambungan penganjurannya.

Dengan motto "Asean Bergerak Bersama" (Asean Moving Together), temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung hingga 19 Ogos ini bertujuan menggalakkan persahabatan dan pembangunan sukan serta menginterasikan golongan itu ke dalam masyarakat Asean.

Orang ramai adalah digalakkan untuk hadir dan memberikan sokongan dan tidak memperkecilkan kemampuan atletatlet ini di pentas sukan dunia apabila atlet dari Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Timor Leste bakal membuat kejutan di luar kemampuan fizikal masing-masing.

Pada edisi kelima temasya sukan itu kali ini, sebanyak 730 pingat emas ditawarkan melalui 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, powerlifting, catur, boling, pelayaran, tenis kerusi roda, bola keranjang kerusi roda dan bola tampar duduk.

Acara renang akan menjadi lubuk pungutan pingat kepada negaranegara peserta apabila ia menawarkan jumlah pingat terbanyak iaitu 294 pingat emas dan diikuti olahraga (240) dan ping pong (72).

Di samping itu acara renang, olahraga dan powerlifting pada temasya kali ini juga akan dijadikan pentas untuk atlet meraih ranking Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) bagi melayakkan diri beraksi pada Sukan Paralimpik London 2012.

Beberapa venue sekitar Lembah Klang dan Port Dickson, Negeri Sembilan telah dipilih bagi menjaya temasya kali ini.

Bagi acara olahraga, ia akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, powerlifting (Stadium Putra), renang (Pusat Akuatik Nasional), catur (Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara), Badminton (Stadium Juara, Bukit Kiara), boling (Megalanes Endah Parade), ping pong (Arena Tertutup Majlis Olimpik Malaysia), bola tampar duduk (Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur), bola keranjang berkerusi roda (Dewan Serbaguna GMI, Bangi), tenis berkerusi roda (Kompleks Tenis Nasional) dan pelayaran (Admiral Marina & Leisure Club, Port Dickson).

Semasa Sukan Para Asean di Korat, Thailand tahun lepas, kontinjen negara yang dianggotai 180 atlet menduduki tempat kedua keseluruhan dengan meraih 82 emas, 74 perak dan 46 gangsa. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain