suria

KL'09: Temasya sukan bebas tembakau pertama di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Sukan Para Asean kelima (KL'09) melakar sejarah tersendiri hari ini dengan menjadi temasya sukan pertama di Asia Tenggara yang diisytihar sebagai temasya sukan bebas tembakau sepanjang lima hari kejohanan itu, yang bermula Sabtu ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata kempen ini tidak hanya tertakluk kepada atlet dan pegawai, tetapi juga kepada penonton yang menyaksikan 11 acara sukan yang dipertandingkan.

"Sepanjang temasya ini, pegawaipegawai dari Kementerian Kesihatan akan ditugaskan memantau venue, dan sesiapa yang didapati merokok, mereka boleh disaman sehingga RM1,000," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian serta perisytiharan bebas tembakau dan dadah di Bilik Asia, Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Hijau, Bebas Rokok dan Dadah ditubuhkan khas bagi menjamin kejayaan kempen ini, selain kempen pemuliharaan alam yang dilancarkan sebelumnya.

Perisytiharan bebas tembakau dan dadah yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu ditandatangani oleh ketua kontinjen 10 negara Asean dan Timor Leste.

"Jika selepas berakhirnya KL'09 dan kempen ini berjaya mencapai objektifnya, ia akan direkodkan ke dalam Malaysia Book of Records," katanya.

Zainal yang juga Presiden Majlis Paralimpik Asia (APC) berharap agar perjanjian ini menjadi contoh kepada temasya dan badan sukan lain di rantau Asia Tenggara sebagai langkah menggalakkan kehidupan sihat tanpa rokok terutamanya kepada atlet-atlet.

Selain itu ketua kontinjen Singapura, Raja Singh, nyata kagum dengan usaha Malaysia itu.

"Perjanjian ini berbeza daripada temasya sukan yang lain. Ia wajar menjadi contoh dan diteruskan untuk edisi Para Games yang akan datang," katanya.

Semua atlet paralimpik kini sudah tiba di Malaysia, dan latihan pertama dijadualkan bermula besok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain