suria

Rakyat Maalysia belum miliki budaya sukan yang tinggi - Shabery

KLANGL: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata rakyat negara ini masih belum memiliki budaya sukan yang tinggi kerana terdapat sesetengah kejohanan sukan yang kurang popular tidak mendapat sambutan terutama dari jumlah bilangan penonton yang tidak ramai.

Beliau berkata situasi itu berbeza dengan negara yang memiliki budaya sukan yang tinggi kerana apa sahaja permainan yang dipertandingkan pasti akan mempunyai penonton yang ramai.

"Walaupun kita mempunyai atlet bertaraf dunia tetapi orang kita belum ada minat untuk menonton permainan seperti kriket sedangkan kalau di negara lain seperti Pakistan dan India, mereka boleh berperang hanya kerana keputusan perlawanan kriket.

"Seperti lawnball (boling padang), ia masih dianggap sukan baru yang dikatakan seronok untuk bermain tapi belum sampai ke peringkat seronok untuk menonton," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang Merdeka Asia Pasifik Keempat di Stadium Tertutup Bayuemas di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan stadium yang lengang tanpa kehadiran penonton menyaksikan kejohanan selama lima hari sehingga 5 Ogos itu walaupun melibatkan penyertaan 13 negara termasuk Malaysia yang akan mempertahankan kejuaraan dalam tiga daripada empat acara yang dipertandingkan. Justeru, beliau berkata peranan media massa terutamanya media elektronik sangat diperlukan bagi membantu memupuk budaya sukan di kalangan rakyat selain mempromosikan sukan-sukan yang dianggap kurang popular.

"Media sepatutnya memainkan peranan yang lebih, saya tidak kata media langsung tidak main peranan cuma tidak cukup ruang (diberikan untuk slot sukan) terutama media elektronik seperti televisyen dan sebagainya.

"Misalnya golf, dulu orang tidak anggap satu sukan yang seronok ditonton tetapi dengan kebijaksanaan wartawan sukan dan jurukamera, ia jadikan permainan itu begitu menarik. Saya percaya permainan lawn ball yang perlukan banyak fokus dan teknik serta latihan kalau dapat diolah dengan baik (di media) dan menarik orang bermain, saya percaya permainan ini akan dapat menarik minat ramai penonton," katanya.

Mengulas mengenai pasukan bola sepak Harimau Muda yang bakal bergelar juara Liga Perdana 2009 sekiranya menewaskan Kuala Lumpur esok tetapi berkemungkinan tidak akan mendapat sebarang habuan, Ahmad Shabery berkata kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam perkar aitu memandangkan pasukan itu berada bawah pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun katanya Harimau Muda seharusnya sudah memahami dari awal lagi tujuan dan implikasi mereka ketika menyertai Liga Perdana.

"Tujuan asal mereka sertai Liga Perdana pun hanya untuk pendedahan. Tidak mendapat hadiah adalah perkara kedua tetapi yang utama ialah pengiktirafan yang bakal diperolehi sekiranya mereka menang, itu lebih penting.

"Sekiranya mereka diiktiraf saya kira kedudukan mereka sama dan ruang bagi mereka untuk jangkau ke depan dengan lebih tinggi sudah tentu terbuka selepas ini. Jadi jangan rasa gelisah, bukannya hadiah sebagai penamat kepada karier tapi yang penting kalau menjadi juara dan pamerkan bakat serta kebolehan tersendiri," katanya. BERNAMA

Artikel Lain