suria

Skuad sepak takraw dicabar raih emas di Laos

KEMAMAN: Bagi mengembalikan maruah negara sebagai gergasi dalam sukan sepak takraw, skuad kebangsaan dicabar untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata dengan kejayaan itu sahaja yang dapat menebus kembali maruah negara sebagai pengasas sukan berkenaan.

"Saya minta mereka buktikan supaya dapat pingat emas pada Sukan SEA di Laos.

Kejayaan itu sahaja yang dapat menebus maruah negara.

"Sukan ini kita punya (berasal dari Malaysia) dan banyak peruntukan diberikan kepada mereka," katanya selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Daerah Kemaman (Piala Datuk Seri Amar Diraja) di Kampung Besut di sini hari ini.

Sebelum ini, prestasi buruk skuad sepak takraw kebangsaan bukan sahaja mengejutkan peminatnya di Malaysia malah Kementerian Belia dan Sukan sendiri. Pada beberapa kejohanan lepas, skuad sepak takraw negara tewas kepada pasukan yang dulunya dianggap kerdil termasuk diaibkan oleh Korea Selatan dan Indonesia dalam acara beregu, Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kekalahan skuad kebangsaan kepada negara yang baru hendak menceburi sukan sepak takraw seperti Korea Selatan boleh dianggap sebagai memalukan.

Beliau berkata sebagai pelopor sukan berkenaan, skuad negara perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah itu termasuk memperkenalkan teknikteknik baru dalam permainan tersebut supaya maruah Malaysia tidak terus tercalar.

"Pasukanpasukan lain sudah mencipta perkaraperkara teknikal baru. Jika Malaysia masih mengekalkan kaedah lama dalam permainan, kita akan kalah," katanya.

Beliau juga berkata Majlis Sukan Negara (MSN) kini di peringkat akhir menyiapkan laporan berhubung prestasi skuad sepak takraw negara yang kini membimbangkan.

"Dalam laporan tersebut yang termasuk peruntukan RM5 juta yang pernah diberikan pada 2007, sama ada mencukupi atau sebaliknya untuk membangunkan sukan sepak takraw. Kita hendak lihat impaknya terhadap peruntukan yang diberikan itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain