suria

Peruntukan kepada persatuan sukan akan dikaji semula

KEMAMAN Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji semula pemberian peruntukan kepada persatuan sukan supaya wang yang dibelanjakan itu memberi pulangan pelaburan yang menguntungkan rakyat dan negara.

Menteri berkenaan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pemberian peruntukan itu pada masa depan, akan diberi berdasarkan penganjuran sesuatu kejohanan serta prestasi skuad sukan berkenaan.

"Pada masa ini, banyak persatuan sukan di negara ini menerima bantuan daripada kerajaan. Pemberian peruntukan itu diberi atas permintaan daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Daerah Kemaman (Piala Datuk Seri Amar Diraja) di Kampung Besut di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pihaknya tidak boleh sewenangwenangnya memberi peruntukan kepada persatuan sukan kerana perbelanjaan itu adalah wang rakyat.

"Kita kena ingat, kadang kala duit rakyat perlu digunakan untuk perkaraperkara yang menjadi keutamaan seperti pembinaan PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), bantu orang miskin dan sebagainya.

"Duit rakyat, mesti ada caranya untuk persatuanpersatuan sukan tunjukkan pulangan pelaburan kepada rakyat. Jadi kita minta persatuan sukan sediakan laporan yang sempurna," katanya.

Beliau berkata tiada guna peruntukan yang besar diberi kepada persatuan sukan jika prestasi atlet mereka merosot dan penganjuran sukan berkenaan tidak mendapat sambutan daripada penonton.

"Kalau persatuan yang diberikan peruntukan yang besar tetapi prestasi atlet semakin merosot, itu perlu dikaji balik pemberian duit kerajaan dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata beliau mengarahkan supaya Akta Pembangunan Sukan 1997 dikaji semula bagi memperluaskan bidang kuasa kementerian dalam mengawal selia dan menyenggara semua stadium di negara ini.

Beliau berkata setakat ini, kementerian hanya mempunyai kuasa memantau stadium di bawah seliaannya dan bukan stadium yang dimiliki kerajaan negeri. BERNAMA

Artikel Lain