suria

Shabery: Bola sepak negara mula bangkit

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata sukan bola sepak negara sudah mula menuju ke era kebangkitan selepas mencatat prestasi memberangsangkan dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan gergasi, Manchester United, minggu lepas.

Beliau berkata pasukan Malaysia berjaya mencipta nama dengan mmberikan persembahan memberangsangkan dalam dua perlawanan dengan juara Liga Perdana Inggeris itu sempena jelajahnya ke Asia.

"Saya berasa bangga apabila akhbar antarabangsa memberi liputan meluas dan juga dalam laman web YouTube.

"Kita nampak ada satu harapan baru kepada pasukan bola sepak negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Piala Dunia KOI Karate 2009 ke18 di sini hari ini.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas, skuad bola sepak negara, bimbingan K. Rajagobal kalah 23 kepada Manchester United yang menurunkan pemainpemain utamanya termasuk Wayne Rooney, Rio Ferdinand dan Ryan Giggs.

Malahan, gol kemenangan itu dijaringkan pada penghujung perlawanan oleh Michael Owen yang baru menyertai Manchester United.

Isnin lepas, dalam perlawanan kedua, Malaysia tunduk 0-2 kepada pasukan 'Red Devils" itu.

"Saya kagum dengan persembahan pasukan kita dalam perlawanan pertama. Tahniah kepada pasukan bola sepak negara kerana berjaya menjaringkan dua gol dan kesungguhan bermain sehingga saat akhir.

"Dalam perlawanan kedua, soal kecergasan menjadi isu yang penting. Saya berharap aspek itu akan dilihat dalam usaha membina pasukan bola sepak yang lebih kuat," katanya.

Ahmad Shabery berkata Malaysia akan mempergiatkan usaha untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik London 2012 dalam acara memanah, badminton, dan berbasikal.

Beliau berkata kementerian akan memberi tumpuan penuh kepada 17 atlet negara di bawah program "Road To London 2012" dalam misi memburu pingat emas pertama sejak penyertaan Malaysia dalam termasya sukan itu.

"Kita berhasrat untuk memperoleh pingat emas pertama negara dalam sukan Olimpik di London pada 2012. Memanah dan badminton mempunyai harapan cerah.

"Kita dahaga dan lapar untuk memperoleh pingat emas dalam sukan Olimpik," katanya. BERNAMA

Artikel Lain