suria

Slogan 'tidak gentar' rahsia pasukan Malaysia

KUALA LUMPUR: Jurulatih negara K. Rajagobal menyemai sikap 'tidak gentar dalam bola sepak' kepada anak buahnya apabila pasukan pilihan Malaysia tewas tipis 2-3 kepada Manchester United pada perlawanan persahabatan di sini, semalam.

Katanya slogan "Tidak Gentar Dalam Bola Sepak" yang sentiasa diberi tumpuan oleh Sir Bobby Charlton ketika beliau mengikut latihan di Pusat Latihan Trafford di Carrinton beberapa tahun lepas menjadi pegangannya.

Pusat itu merupakan gelanggang latihan bagi Manchester United.

Walaupun ketinggalan 20 selepas jaringan Wayne Rooney dan Nani sebelum babak pertama perlawanan berakhir, barisan pilihan Malaysia, kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun, lebih berazam untuk merapatkan jurang jaringan.

Semangat juang dan keazaman tinggi anak buah Rajagobal membuahkan hasil apabila ketua pasukan Selangor Mohd Amri Yahyah merapatkan jaringan pada minit ke43 sebelum menyamakan kedudukan 22 pada minit ke-62.

Bagaimanapun, Michael Owen menghampakan Malaysia dengan gol kemenangan Manchester United lima minit sebelum wisel penamat perlawanan.

"Pada waktu rehat babak pertama, saya beritahu pemain supaya meningkatkan kesungguhan pada babak kedua serta menasihatkan mereka supaya tidak gentar apabila berdepan dengan pasukan mantap seperti MU," kata Rajagobal.

Bagaimanapun, beliau mengakui kesilapan melakukan banyak pertukaran selepas kedudukan terikat 2-2 menyebabkan kekalahan apabila pemain baru Manchester United, Owen meledakkan gol kemenangan.

Rajagobal berkata beliau akan mengekalkan barisan sama pada perlawanan kedua menentang Manchester United Isnin ini dan menyifatkan kekalahan tipis itu akan memberi motivasi untuk menampilkan persembahan yang lebih baik.

Sementara itu, pengurus Manchester United Sir Alex Ferguson agak terkejut dengan kepantasan, corak perlawanan terbuka dan semangat penuh minat yang ditunjukkan oleh barisan negara.

"Adalah bagus untuk mendahului 2-0 pada babak pertama tetapi agak terkejut dengan gol pembukaan Malaysia," katanya.

"Pada babak kedua, saya perhatikan pemain Malaysia lebih berazam dan bermain dengan penuh minat khususnya dalam kawalan bola," katanya.

Ferguson menyifatkan persembahan pasukan Malaysia telah meningkat sejak pertemuan terakhir mereka pada perlawanan persahabatan di sini pada 2001 di mana pasukan itu menang 60.

Kunjungan Manchester United kali ini adalah kali keempat selepas tahun 1991, 1995 dan 2001. BERNAMA

Artikel Lain