suria

SIC pilih empat pelumba bagi Program Wildcard MotoGP

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam mengumumkan pelumba yang disenarai pendek untuk mengikuti Program Wildcard Malaysia.

Empat pelumba itu adalah daripada sirkit Kejohanan Cub Prix Petronas-AAM Malaysia yang sedang berlangsung iaitu Elly Idzlianizar Ilias, Md Iskandar Raduan, Mohd Farid Ahmad dan Mohd Zulfahmi Khairuddin.

Mereka dipilih daripada sekumpulan 17 pelumba yang dikenal pasti daripada sesi ujian yang diadakan Mei lepas.

"Saya amat bangga dengan perkembangan program ini. Ia merupakan cara terbaik bagi SIC dalam mempromosikan MotoGP Malaysia, di mana peminat Malaysia dapat memberikan sokongan kepada pelumba Malaysia.

"Kami telah berusaha keras dan berhatihati dalam pemilihan pelumba ini dan telah membuat perancangan untuk memberikan semua sokongan kepada mereka...sama ada melibatkan sokongan motivasi atau teknikal," kata ketua Pegawai Eksekutif SIC Razlan Razali pada sidang akhbar di Litar Sepang di sini semalam.

Dengan pelaksanaan Program Wildcard Malaysia, SIC berharap untuk mengenal pasti pelumba prolifik untuk mewakili negara dalam kategori 125cc pada MotoGP Malaysia.

"Kami telah menyediakan program penuh untuk membantu pelumba mencapai potensi penuh mereka," kata Razlan.

Program Wildcard Malaysia dirancang oleh SIC untuk mengisi ruang yang dikosongkan oleh Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang menjadi pelumba Malaysia yang pertama untuk menyertai kelas 250cc, Grand Prix Motosikal Dunia pada 2002.

Empat pelumba yang dipilih itu akan menjalani siri latihan komprehensif di Litar Sepang di bawah bimbingan Shahrol Yuzy selama dua bulan.

Razlan berkata selepas sesi latihan, jawatankuasa pemilihan program itu akan memutuskan pemilihan akhir dua pelumba, yang akan dicadangkan kepada pemegang hak MotoGP dunia, Dorna dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) bagi kemasukan wildcard untuk bertanding dalam kelas 125cc dalam Grand Prix Motosikal Malaysia 2009 pada Oktober.

Pemilihan adalah berdasarkan kemahiran dan keupayaan mereka mengendalikan motosikal Yamaha 125cc sepanjang sesi latihan dan sebaik sahaja pemilihan dibuat, mereka akan menjalani latihan dan bertanding di Itali menggunakan motosikal GP Aprilia 125cc.

Bagi Program Wildcard Malaysia, SIC bekerjasama dengan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Two Wheels Motor Racing (TWMR), Moto Millia dan Hong Leong Yamaha. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain