suria

Laluan mudah bagi Harimau Muda untuk buru gelaran liga musim ini

KUALA LUMPUR: Harimau Muda masih mengungguli persada Liga Perdana dengan memperkukuhkan kedudukan selepas membenam Melaka 2-0 pada perlawanan bola sepak di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Bagaimanapun, Melaka memberi saingan sengit pada babak pertama sehingga pasukan Harimau Muda terpaksa memperkemaskan rentak permainan dan cuba memahami kelemahan pasukan lawan.

Harimau Muda berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-77 apabila Ahmad Shakir Mohd Ali menyempurnakan tendangan penalti sebelum Wan Zack Haikal Wan Nor menutup tirai jaringan pada minit ke-83.

Kejayaan anak buah Ong Kim Swee itu membolehkan Harimau Muda, iaitu pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, memungut 52 mata, kelebihan tiga mata dengan pencabar terdekat pasukan TTeam dari Terengganu.

TTeam terpaksa menangguhkan perlawanan malam ini di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, apabila lawannya, Sabah, menghadapi masalah mendapatkan tiket penerbangan. Dalam pada itu, Harimau Muda hanya mempunyai baki lima perlawanan untuk menjulang gelaran buat julung kali musim ini yang bakal berakhir 24 Julai ini.

Pasukan itu mempunyai tiga perlawanan di gelanggang sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini iaitu menentang TTeam pada 10 Julai, Johor (17 Julai) dan Kuala Lumpur pada 24 Julai.

Manakala dua perlawanan di tempat lawan ialah menentang PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Kelana Jaya pada 13 Julai dan Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching, pada 20 Julai ini. BERNAMA

Artikel Lain