suria

Selangor dan Perlis terus bersaing untuk juarai Liga Super

KUALA LUMPUR: Berbaki tiga perlawanan, Selangor dan Perlis terus bersaing hebat untuk dinobatkan selaku juara Liga Super 2009 dengan menewaskan lawan masing-masing semalam.

Juara Piala FA dan Piala Sumbangsih musim ini, Selangor kekal di tangga teratas liga mengumpul 54 mata setelah menewaskan UPBMyTeam 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-30 melalui pemain tengah, Mohd Hardi Jaafar sebelum penyerang berbisa Red Giants, Mohd Safee Sali meledak dengan gol kedua pelawat pada minit ke-50 untuk menewaskan penjaga gol UPBMyTeam, Faizal Rashid.

UPBMyTeam bagaimanapun bangkit menjaringkan gol pertama pada minit ke-66 melalui Khairunnisam Sahabudin namun C.Premnath membalas dua gol untuk pelawat pada minit ke-69 dan 76.

Perlis mengekori rapat Selangor di tangga kedua dengan mengumpul 52 mata setelah menumpaskan Johor FC 1-0 di Stadium Utama, Kangar hasil jaringan tunggal pemain tengah Azi Shahril Azmi pada minit ke-65.

Kelantan turut mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga apabila menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Sultan Muhammad keIV di Kota Bharu dengan golgol tuan rumah dijaringkan oleh Ahmad Azlan Zainal (m21), Mohd Badri Radzi (m48) dan Zairul Fitree Ishak (m65).

Manakala dua gol Pahang yang dibimbing jurulatih Dollah Salleh disumbangkan oleh Mohd Azimuddin Akil pada minit ke-18 dan 42 sekaligus menyaksikan skuad Tok Gajah kekal ditangga kedua tercorot daripada 14 pasukan bertanding.

Pertembungan abang adik di Stadium Darulaman, Alor Star pula menyaksikan Kedah berjaya menjinakkan KM Naza dengan keputusan 4-0 untuk kekal di tangga keempat liga dengan 42 mata.

Pasukan tercorot liga, PDRM pula masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan setelah mengharungi 23 perlawanan setelah tewas di tangga Pulau Pinang dengan keputusan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Keputusan ini juga mengesahkan PDRM menamatkan saingan di tangga terakhir dan tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan walaupun masih berbaki tiga perlawanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain