IPOH: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini diminta melepaskan jawatannya sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sertamerta bagi membolehkan individu lain menerajui persatuan tersebut.Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kedudukan kewangan PAFA kini dikatakan tenat dan adalah lebih baik sekiranya tokoh yang mampu menangani masalah berkenaan dibenarkan menerajui persatuan itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kewangan PAFA yang dikatakan gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai bagi bulan Jun."Terpulang kepadanya sama ada untuk melepaskan jawatan itu atau tidak tetapi dalam keadaan sekarang beliau sepatutnya meletakkan jawatan bagi membolehkan orang lain mengepalai PAFA," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerjaan negeri di sini.Zambry berkata kerajaan negeri bagaimanapun akan berusaha membantu PAFA dalam usaha melunaskan gaji pemain yang tertunggak selama sebulan itu."Ini adalah sukan rakyat dan kita akan cuba bantu bagi mengelak pemain dan pegawai mengalami masalah kewangan," katanya.Prestasi pasukan Perak dalam kancah Liga Super musim ini dikatakan mulai menurun selepas pemain mendapat maklumat bahawa PAFA hanya mempunyai peruntukan untuk membayar gaji mereka sehingga bulan Mei.Mohammad Nizar mengambil alih pucuk pimpinan PAFA pada 16 Nov 2008 setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan itu pada Kongres Tahunan PAFA. BERNAMA