suria

H1N1: KBS tidak larang atlet sertai kejohanan luar negara

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan tidak mahu mengambil langkah drastik dengan melarang atlet tempatan menyertai kejohanan di luar negara walaupun terdapat kebimbangan mengenai penularan Influenza A (H1N1) di seluruh dunia.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata walaupun perkara itu mempunyai risikonya yang tersendiri, namun masa depan industri sukan negara juga harus diambil kira.

"Kita mesti melihat apakah kemungkinan-kemungkinan yang boleh diambil dan langkah-langkah untuk mengurangkan risiko tersebut dan kita lihat juga dari segi reaksi dunia terhadap penganjuran sukan-sukan bertaraf antarabangsa.

"Saya perhatikan (kejohanan) di Wimbledon masih berjalan, Confederation Cup juga masih berjalan...kita mesti melihat perkembangan ini untuk tidak mengambil tindakan drastik," katanya kepada pemberita selepas mengucapkan selamat jalan kepada Pasukan Pancaragam Kor Kadet Victoria yang mewakili negara ke World Bands Challenge di San Felice Sul Penaro, Modena, Itali, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Ahmad Shabery bagaimanapun berkata kementerian akan patuh sekiranya terdapat arahan atau kenyataan yang jelas daripada Kementerian Kesihatan mengenainya.

Beliau berkata pihak Institut Sukan Negara (ISN) akan sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan untuk mengetahui status kementerian itu terhadap perkara tersebut.

"Setakat ini belum lagi (ada sebarang larangan). Kita hanya beri kenyataan kepada atlet berkenaan supaya melalui langkah-langkah penjagaan," katanya ketika ditanya sama ada atlet negara dibenarkan menyertai kejohanan di luar negara dalam masa terdekat.

Mengenai pertandingan pancaragam itu, Ahmad Shabery berkata penyertaan tersebut memberi peluang kepada negara untuk menimbangkan bagi menganjurkan pertandingan antarabangsa seumpamanya.

"Kalau kita boleh menghantar pasukan kita (untuk bertanding), sudah tentu nama Malaysia tercatat sebagai nama yang dihormati dunia dan bila kita menganjur pertandingan seumpama ini sudah tentu pasukan-pasukan lain di seluruh dunia akan menyertai dan perkara ini boleh kita pertimbangkan," katanya.

Ketua Pancaragam tersebut, Abdullah Imran Abdullah Hashim, 18, berkata penyertaan pasukan 90 anggota itu kali ini diharap dapat mengulang kembali kejayaan merangkul tempat pertama pada kejohanan sama tahun 2003.

Persediaan rapi dan latihan yang kerap setiap minggu lebih-lebih lagi musim cuti sekolah diharap dapat membuahkan hasil terutama semasa menentang pasukan handal seperti Thailand dan Jepun, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain