suria

Dilema atlet taekwondo negara dalam kemelut dalaman MTA

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), Nur Ekmal Buhary mendakwa jawatan kuasa ad hoc MTA gagal memikul tugas mengendalikan badan induk sukan tersebut sebelum pembentukan MTA baru.

Ekmal berkata, beliau kesal dengan sikap kurang prihatin jawatankuasa tersebut dalam memantau aspek keperluan dan pembangunan atlet serta jurulatih negara.

"Saya risau satu hari nanti kita akan kehilangan atlet dan jurulatih tempatan yang kini bertaraf Olimpik jika pihak yang diberi tanggungjawab tidak menjalankan tugas mereka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

"Setelah MTA dibubarkan, atlet taekwondo kehilangan tempat untuk berteduh dan lesu setelah sekian lama tidak mengikuti kejohanan serta latihan yang sewajarnya seperti yang diperlukan atlet bertaraf Olimpik," katanya.

Beliau mendakwa bahawa jawatankuasa tersebut tidak mempedulikan soal pembangunan atlet sehingga skuad taekwondo negara kini mengalami masalah ketiadaan atlet pelapis.

Ekmal berkata, sebelum ini, MTA setiap tahun melakukan pencarian bakat baru untuk diserapkan ke dalam skuad pelapis negara.

Beliau menyeru agar jawatankuasa itu yang diketuai Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

MTA dibatalkan pendaftarannya pada 6 Mei, 2005 oleh Pesuruhjaya Sukan Tan Sri Elyas Omar atas alasan menghindari pembangunan sukan tersebut mengikut Seksyen 20(1)(e) Akta Pembangunan Sukan 1997. Badan induk sukan taekwondo itu kemudian merujuk perkara tersebut ke mahkamah tetapi Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Azalina Othman Said telah menarik balik pembatalan terhadapnya pada 5 Julai, 2007.

Bagaimanapun, beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan menteri itu telah mengadu kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Datuk Nik Mahmud Nik Yusof, yang menggantikan Elyas, mengeluarkan perintah membatalkan semula pendaftarannya. Jawatankuasa ad hoc itu dibentuk April lepas, terdiri daripada wakilwakil dari dua puak, MTA dan ahli gabungannya, Persekutuan Taekwondo Malaysia (MTF), Persatuan Kelab Taekwondo Malaysia (MTCA), Persatuan Grand Masters, Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, serta Kementerian Pelajaran Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain