suria

Rekod tanpa kalah 15 perlawanan Harimau Muda lebur

KUALA LUMPUR: Rekod tanpa kalah Harimau Muda sebanyak 15 perlawanan di dalam saingan Liga Perdana sebelum ini akhirnya lebur di tangan Proton FC setelah ia tewas 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Turun untuk melebar kedudukan selaku pasukan pilihan, Harimau Muda dikejutkan dengan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-35 menerusi Raja Mohammad Hafillah untuk kedudukan kekal 10 sehingga separuh masa.

Bersambung babak kedua, pemain berkenaan sekali lagi meledak dengan gol kedua pada minit ke-60 menyebabkan anak-anak buah jurulatih Ong Kim Swee terpaksa berputih mata, pulang tanpa sebarang mata.

Namun kekalahan ini tidak sedikit pun menggugat kedudukan skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu ditangga teratas Liga Perdana dengan mengumpul 43 mata, dibezakan lapan mata dengan pencabar terdekat TTeam.

TTeam yang beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula berjaya membenam cabaran Selangor PKNS melalui jaringan tunggal penyerang berbisa mereka, Mohd Harris Safwan pada minit ke-49.

Kemenangan 1-0 itu sudah cukup untuk TTeam menduduki tempat kedua setelah pesaing terdekat mereka Johor seri tanpa jaringan ketika menentang Melaka di Stadium Hang Jebat.

Felda United pula mencatatkan kemenangan besar apabila membelasah Sarawak 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Khairul Izwan Khalid menjaringkan hatrik pada minit ke-15, 38 dan 90 manakala Mohd Afiq Kamaruddin dan Mohd Nasril Izzat masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-4 dan 51 untuk kemenangan besar skuad berstatus kelab itu. BERNAMA

Artikel Lain