suria

Bola jaring: Malaysia tewaskan Pakistan

KUALA LUMPUR: Pasukan bola jaring negara kembali menemui rentak bertenaga apabila dengan mudah menewaskan Pakistan 89-6 pada perlawanan peringkat Kumpulan B Kejohanan Bola Jaring Asia Ketujuh, di sini semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Kompleks Sukan Bukit Kiara, Malaysia bermula garang sejak wisel permulaan dibunyikan.

Penjaring (Gs) Norashikin Kamal Zaman menghasilkan jaringan terbanyak buat pasukan negara dengan 38 jaringan dan diikuti S. Aruna dengan 28 jaringan, Nur Ezzaini Mohd Nur (GA) 14 jaringan dan Nor Atikah Mat Salleh dengan sembilan jaringan.

"Pasukan Pakistan tidak sekuat pasukan Sri Lanka yang kami tentang semalam. Hari ini tumpuan kami hanya memantapkan skil dan cara komunikasi antara pemain untuk persediaan menghadapi perlawanan esok.

"Tumpuan pasukan sekarang ialah untuk meraih kedudukan selaku naib juara Kumpulan B dan melangkah ke saingan separuh akhir," kata ketua pasukan Nur Ain Ramlan.

Terdahulu, juara tiga kali Sri Lanka seperti telah diduga berjaya meraih kemenangan besar ke atas India dengan mencipta 103 berbalas 27 dengan pemain tinggi lampainya, Tharjini Sivalingam menyumbang sebanyak 76 jaringan.

Sementara itu, pasukan-pasukan dalam Kumpulan A telah melengkapkan jadual saingan peringkat kumpulan semalam, dengan Singapura terus unggul meraih kemenangan ketiga dengan menewaskan Thailand, 65-22.

Selain Singapura, yang menempah tempat ke peringkat separuh akhir dengan mengumpul 187 jaringan daripada tiga perlawanan ialah Thailand yang mengumpul 123 jaringan.

Singapura dijangka bertemu naib juara Kumpulan B pada saingan separuh akhir. BERNAMA

Artikel Lain