Tiada larangan atlet ke luar negara -KBS - Sukan | mStar

Tiada larangan atlet ke luar negara -KBS

KUALA LUMPUR: Atlet negara masih boleh berlatih atau menyertai pertandingan di luar negara tetapi perlu mendapatkan nasihat berhubung wabak Influenza A(H1N1), kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Tiada sebarang larangan ke luar negara setakat ini. Cuma terdapat arahan khas kepada persatuan supaya lebih berhati hati ketika menghantar atlet ke negara berisiko tinggi yang menerima kesan wabak tersebut seperti Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita hari ini.

Institut Sukan Negara (ISN) semalam mengeluarkan nasihat kepada persatuan sukan untuk menangguhkan sementara penyertaan ke luar negara berikutan peningkatan sistem amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menaikkan paras amaran wabak tersebut dari aras 5 ke aras 6.

Ahmad Shabery berkata ISN dari masa ke masa akan mengeluarkan kenyataan dan panduan kepada persatuan sukan mengenai perkembangan wabak tersebut.

Sementara itu Pemangku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Jalil Abdullah berkata persatuan sukan seharusnya akur dengan nasihat Kementerian Kesihatan dan ISN kerana wabak tersebut jika tidak ditangani dengan sewajarnya boleh membawa maut.

"Pihak MSN sejak awal lagi telah menasihatkan persatuan sukan tempatan supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya jika mahu keluar negara. Selepas peringatan daripada KKM dan ISN, MSN tidak lagi menggalakkan penyertaan atlet ke luar negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Dr M.Jegathesan berkata sebarang keputusan sama ada meneruskan atau membatalkan penyertaan di luar negara seharusnya berdasarkan fakta yang sahih mengenai wabak tersebut.

"Kita mesti menilai situasi wabak tersebut di setiap negara mengikut meritnya dan bukan beranggapan seluruh dunia terlibat," katanya.

Beliau menasihatkan atlet yang akan keluar negara menilai dahulu tahap kesihatan masingmasing dan mengambil langkah pencegahan awal. "Jika atlet tersebut tidak sihat ketika dalam negara, jangan burukkan lagi keadaan dengan menyertai kejohanan atau latihan di luar negara," tambahnya.

Jegathesan berkata mengikut kalendar MOM, kejohanan terdekat yang melibatkan penyertaan atlet Malaysia ke luar negara ialah Sukan Belia Asia di Singapura, dari 29 Jun hingga bulan depan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan penganjur di republik tersebut berhubung status wabak tersebut.

"Di pihak Malaysia, segala langkah pencegahan awal perlu dilakukan dan jika pihak penganjur di Singapura memberi lampu hijau mengenai kejohanan tersebut, atlet kita boleh menyertainya," katanya.

Beliau bagaimanapun mencadangkan MSN meminta kebenaran daripada ibu bapa atlet terlebih dahulu sebelum menghantar atlet ke luar negara.

Sementara itu Pengarah Program Atlet Pelapis MSN, Jefri Ngadirin berkata kesemua 30 atlet pelapis yang akan ke Singapura akan diberikan suntikan pencegahan awal oleh KKM, pada hujung minggu ini.

Atlet juga katanya akan diberikan maklumat secukupnya bagaimana menjaga kesihatan diri ketika berada di republik tersebut. Dalam pada itu, antara pihak yang membatalkan penyertaan ke luar negara ialah Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM). MASUM hari ini menerima arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Belgrade, Serbia dari 1 hingga 12 Julai depan atas alasan menjaga keselamatan atlet berikutan kebimbangan mengenai wabak tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain