suria

Malaysia hanya mampu seri dengan Mesir

JOHOR BAHARU: Pemain Mesir Hamada Atef menafikan kemenangan pasukan Malaysia apabila menyumbang gol penyamaan 22 pada saat-saat akhir perlawanan klasifikasi pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini malam tadi.

Kemenangan mutlak dapat meningkatkan semangat Malaysia untuk mengharungi perlawanan menentukan tempat ke-11 menentang Belgium Jumaat ini tetapi Mesir enggan menyerah kalah di Stadium Taman Daya di sini.

Ketinggalan 12, pemain Mesir enggan mengaku kalah dan memaksa pasukan tuan rumah melakukan kesilapan sehingga menerima pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Hamada.

Bagaimanapun, keputusan seri itu sudah cukup bagi Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Poland dalam perlawanan penentuan tempat dan peluang memburu kedudukan tempat ke-11.

Malaysia terpaksa melupakan saingan merebut tempat kesembilan apabila Poland menewaskan Afrika Selatan 43 di Stadium Sengkang di Singapura pada perlawanan sebelah pagi.

Malaysia mendahului jaringan menerusi pukulan penalti oleh Faizal Saari pada minit ke-25 tetapi Mesir berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Mohamad Abdel Hakim.

Malaysia, yang mendapat sokongan padu penonton yang mengisi semua tempat duduk dalam stadium itu, sekali lagi mendahului kedudukan pada minit ke-47 menerusi hasil pukulan sudut penalti oleh Nor Hafiz Abdul Ghafar.

"Membolos gol pada saat-saat akhir amat menyakitkan hati. Itu adalah kesilapan kami," kata jurulatih negara K. Rajan.

Dalam perlawanan menentukan tempat teratas, Belanda layak ke separuh akhir apabila seri 11 dengan Jerman.

Belanda akan menentang New Zealand pada saingan separuh akhir manakala Jerman akan menentang Australia pada satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sebelum itu, Australia menewaskan New Zealand 2-0. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain