suria

Selangor kekal teratas Liga Super

KUALA LUMPUR: Selangor dan Perlis terus bersaing untuk merebut taktha Liga Super musim ini apabila kedua-dua pasukan itu mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing malam tadi setelah liga berehat selama tiga minggu.

Selangor terus berada di puncak liga apabila membenam cabaran Perak 1-0 di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan R.Surendren pada minit ke49 untuk mengumpul keseluruhan 43 mata.

Kemenangan Selangor itu turut diikuti rapat pencabar terdekatnya ditangga kedua Perlis yang menumpaskan Pahang 31 di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan Azi Shahril Azmi membuka jaringan pelawat pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua, pelawat terus menggandakan asakan sekaligus membolehkan penyerang berbisa Singa Utara, Mohd Nizaruddin Yusof meledak dengan dua gol pada minit ke-52 dan 66 sebelum R.Kartigesu menjaringkan gol sagu hati untuk tuan rumah pada minit ke-92 untuk membolehkan Perlis mengumpul 42 mata di tangga kedua.

Kedah pula naik satu anak tangga ditempat ketiga setelah menewaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar walaupun pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-36 menerusi Mohd Zaquan Adha Abdul Razak yang menguis masuk bola hasil lorongan Mohd Shukor Adan di luar kawasan kotak penalti.

Kedah yang tidak berputus asa menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-45, mereka berjaya mengikat kedudukan apabila Mohd Sabree Mat Abu menanduk bola lintang Mohd Fadly Baharom untuk kedudukan 11 sama separuh masa pertama.

Gol kedua menerusi Mohd Khyril Muhymeen pada minit ke-64 dan Mohd Azrul Ahmad menyumbat gol ketiga skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah pada minit ke-87 untuk memastikan tiga mata berharga.

Sementara itu Kelantan yang beraksi pertama kali di Stadium Sultan Muhammed IV sejak April lepas berikutan penggantungan stadium oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) menumpaskan UPBMyTeam 3-0.

Dua gol Kelantan adalah melalui Indraputra Mahayuddin pada minit ke-13 dan 42 manakala kapten pasukan Mohd Badri Radzi meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-60.

Terengganu pula yang menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk pertama kali musim ini berikutan bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin awal bulan ini tumpas kepada KL Plus 0-2.

KL PLus yang dibimbing jurulatih Mat Zan Mat Aris berjaya menjaringkan seawal minit kelima permainan melalui Rusdi Samsuddin dan Mohd Irwan Fadli Idrus menambah gol kedua pada minit ke-69. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain