suria

Khidmat Skybus untuk perlumbaan Super GT hujung minggu ini

KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran yang berhasrat menyaksikan perlumbaan Super GT di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini boleh memilih untuk berkunjung ke litar lumba dengan lebih selesa tanpa perlu memikirkan mengenai kesesakan lalulintas dengan menggunakan perkhidmatan SkyBus yang akan disediakan pada hari Sabtu dan Ahad ini.

"Selain dapat menyokong usaha memelihara alam sekitar dengan berkongsi pengangkutan ke litar, perkhidmatan ini juga membolehkan anda tidak lagi perlu memikirkan tentang kesesakan lalu lintas, boleh nikmati sepuasnya perjalanan ke litar lumba dengan selesa," kata Ketua Komunikasi Korporat SIC, Azlan Akil.

Beliau berkata perkhidmatan itu akan diadakan pada 20 dan 21 Jun ini dengan perjalanan pertama bermula seawal pukul 7 pagi dari KL Sentral ke SIC pada bayaran hanya RM9 setiap perjalanan, dengan kekerapan perjalanan setiap 30 minit.

Tempat kedua untuk mengambil penumpang ke litar disediakan di Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) dengan bayaran RM4 setiap perjalanan, disediakan tiap 30 minit, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Tempat mengambil penumpang tambahan turut disediakan pada hari Ahad dari Sunway Pyramid ke SIC pada pukul 9 pagi serta 11 pagi, dan perjalanan terakhir pukul 12 tengah hari pada tambang RM15 tiap perjalanan. Bagi perjalanan kembali dari litar, pusat mengambil penumpang adalah di tempat yang sama di tempat menurunkan penumpang, dengan bas-bas meninggalkan litar setiap 30 minit.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas itu, orang ramai boleh melayari laman web www.skybus.com.my atau menghubungi hotline SkyBus dengan menelefon 016217 8496.

Sebanyak 33 pasukan GT300 dan GT500 akan menggegarkan litar dengan membuat 54 pusingan pada perlumbaan Ahad ini.

Perlumbaan sokongan juga akan ditampilkan, yang merangkumi perlumbaan Formula V6 Asia, GT3 Asia dan Aston Martin Cup Asia.

Di antara perlumbaan itu juga akan diadakan acara hiburan di luar litar, yang akan menampilkan kemunculan ratu perlumbaan, Sana dan Nana, serta lainlain ratu perlumbaan yang mengiringi mereka.

Selain itu beberapa pertunjukkan juga akan ditampilkan khusus untuk pengunjung litar hujung mingu ini, antaranya demonstrasi drift, pertunjukkan kereta seumpama GT dan persembahan oleh Dragon Red.

Ibu bapa yang datang pula boleh membawa anakanak mereka menyertai program Kids Pit pada hari Sabtu, selepas sesi kelayakan kedua, bagaimanapun ia terhad kepada 1,000 kanak-kanak yang paling awal sampai bersama ibu bapa masing-masing.

Tiket-tiket untuk Main Grandstand boleh dibeli pada harga hanya RM100.

SIC turut menawarkan pakej khas buat keluarga pada harga RM250 untuk empat tiket Main Grandstand.

Kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah boleh masuk secara percuma, dan pas-pas masuk bagi Pit Walkabout dan Circuit Safari hari Ahad dijual pada harga RM100 tiap satu, manakala bayaran letak kereta ditetapkan RM5, motosikal RM2, dan Bas RM20.

JADUAL SKYBUS: SABTU (20 Jun 2009): Tempat mengambil/menurunkan penumpang: 1. KL SENTRAL SIC, RM9/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit

2. LCCT SIC, RM4/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit

3.SIC LCCT KL SENTRAL, RM9/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit, berdasarkan penumpang

AHAD (21 Jun 2009): Tempat mengambil/menurunkan penumpang: 1. KL SENTRAL SIC, RM9/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit

2.LCCT SIC, RM4/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit

3.SUNWAY PYRAMID SIC (9pagi, 11pagi & 12tengah hari), RM15/sehala

4.SIC LCCT KL SENTRAL, RM9/sehala Kekerapan: Setiap 30 minit, berdasarkan penumpang

5.SIC SUNWAY PYRAMID (6petang, 7malam & 11malam), RM15/sehala BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain