suria

Sharon rangkul kejuaraan terbuka antarabangsa Singapura

KUALA LUMPUR Setelah kecundang dalam saingan stepladder tiga tahun berturut-turut, Sharon Koh akhirnya muncul juara dalam acara Masters Wanita kejohanan boling Terbuka Antarabangsa Singapura ke-42 dalam saingan di Superbowl Safra Mount Faber, Telok Blangah Way malam tadi.

Beliau mengetepikan rakan senegara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman pada perlawanan akhir stepladder, dengan melakukan 211 jatuhan pin berbanding 181 pin oleh Siti Safiyah.

" Saya sangat gembira untuk memenangi acara Masters Terbuka Antarabangsa Singapura kerana setelah beraksi dalam saingan stepladder sejak tiga tahun yang lepas dari 2006 hingga 2008, saya akhirnya jadi juara. "Saya harap dengan persembahan hari ini, saya akan dipilih menyertai pasukan kebangsaan untuk Kejohanan Dunia Wanita dan dapat membantu Malaysia mempertahankan kejuaraan. Saya juga berharap untuk menang kejuaraan individu seperti yang saya lakukan pada Kejohanan Belia Dunia," kata Kok dalam kenyataan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC). Dengan kemenangan semalam, Koh membawa pulang SG$5,000 (kirakira RM12,000) dan trofi kejuaraan manakala Siti Safiyah SG$2,500 (kirakira RM6,000).

Koh mendahului saingan sejak daripada mula permainan blok pertama kelmarin yang melibatkan lapan permainan. Beliau meneruskan persembahan cemerlang untuk kekal di tempat teratas dalam blok kedua awal hari ini dengan melakukan 214, 257, 259, 269, 190, 256, 253 dan 191 bagi keseluruhan 3,771 jatuhan pin bagi dua hari saingan.

Selepas berakhirnya saingan dua blok, hanya enam layak untuk ke saingan stepladder.

Selain Koh dan Siti Safiyah, dua lagi pemain negara dalam saingan itu adalah Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan pemain profesional Shalin Zulkifli.

Dalam saingan stepladder, Siti Safiyah, juara Masters Ranking Dunia 2009, menduduki tempat teratas dalam permainan pertama dengan 245 pin berbanding Zandra Aziela 230 dan pemain Singapura Jasmine Yeong 228 untuk ke perlawanan kedua. Siti Safiyah kemudian menewaskan Shalin dan seorang lagi pemain Singapura Cherie Tan untuk layak ke perlawanan terakhir bertemu Koh. Beliau melakukan 248 jatuhan pin berbanding Shalin 222 pin dan Tan 226.

Dalam acara Masters lelaki, tiada pemain Malaysia layak ke saingan stepladder.

Kedudukan terbaik pemain Malaysia adalah Aaron Kong di tempat kesembilan dengan 3,442 jatuhan pin untuk keseluruhan dua hari saingan, diikuti Zulmazran Zulkifli (ke-10 3,431 pin), Mohd Shafiq Ridhwan (ke11 3,430), Adrian Ang (ke-14 3,389), Mohd Noer Said (ke-17 3,344), Alex Liew (ke-18 3,332) dan Muh Nur Aiman (ke-23 3,251). BERNAMA

Artikel Lain