suria

Melaka kemuka lima sukan pilihan Sukma 2010

MELAKA: Melaka selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke13 tahun depan akan mengemukakan lima jenis sukan pilihan yang tidak tersenarai sebelum ini untuk dipertandingkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata jenis sukan itu ialah perahu layar, golf, tae kwondo, boling dan gokart.

"Permohonan untuk lima jenis sukan itu untuk dipertandingkan akan dibawa kepada mesyuarat majlis penuh Sukma yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan untuk diluluskan yang dijangka pada bulan depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh Badanbadan Korporat Agensi Persekutuan dan Negeri di sini hari ini. Majlis penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. Lima jenis sukan pilihan itu adalah tambahan kepada 18 jenis sukan yang wajib dipertandingkan pada temasya sukan dwi- tahunan itu. Mohd Ali berkata sukan perahu layar dipertandingkan bagi memenuhi permintaan kerajaan negeri Terengganu dan venue yang dicadangkan bagi sukan itu ialah di Sungai Melaka yang kini giat dibangunkan sebagai produk pelancongan.

"Bagi acara boling dan sukan gokart pula ialah cadangan peribadi saya kerana Melaka mempunyai gelanggang boling dan gokart antara yang terbesar di Asia Tenggara di Ayer Keroh," katanya.

Beliau berkata lebih banyak acara sukan yang dipertandingkan bagi Sukma adalah lebih baik kerana yang penting ialah kemeriahan sukan itu secara keseluruhan yang boleh dipasarkan sebagai produk sukan pelancongan.

Kepada satu soalan, Ketua Menteri berkata, "Kemenangan pingat emas kami sebagai penganjur tidak penting, Melaka tidak menang banyak pingat emas pun tak apa tetapi biar Sukma Melaka sukses," katanya. Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM) berkata PZM mensasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM30 juta pada tahun ini, peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding pada tahun lepas sebanyak RM27 juta. Sehingga semalam PZM telah mencapai kutipan sebanyak RM10.6 juta iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding kutipan pada tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM8.9 juta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain