suria

Kebanyakan infrastruktur Sukan Sea Laos hampir siap

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan kemudahan sukan bagi menganjurkan Sukan SEA 2009 di sekitar ibu negara Laos, Vientiane, sudah hampir 90 peratus siap, menurut laporan dalam laman web Sukan SEA Laos hari ini.

Laporan mengenai perkembangaan persiapan infrastruktur sukan dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Laos (LOASOC) dan turut diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Somsavat Lengsavad, minggu lepas.

Menurut laporan itu, stadium utama yang baru dan boleh menampung 20,000 penonton dijangka siap menjelang bulan depan iaitu empat bulan sebelum bermulanya temasya dwi-tahunan itu mulai 9 hingga 18 Disember ini.

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Laos, Dr Phouthong Seng Akhom berkata stadium utama itu akan menjadi venue kepada 10 acara berbeza termasuk acara dalam dewan.

"Stadium berkenaan merupakan stadium bertaraf antarabangsa pertama di Laos dan akan menjadi venue untuk majlis perasmian dan penutupan sukan itu," katanya seperti dipetik dalam laman web tersebut.

Beliau juga menafikan khabar angin bahawa pembinaan kemudahan bagi temasya sukan itu tidak akan siap mengikut jadual adalah tidak berasas dan stadium utama sudah 90 peratus dan persiapan keseluruhan sudah mencapai 80 peratus.

Gelanggang lain ialah di Stadium ChaoAnouvong di Kampung Anou, daerah Chanthabouly, Pusat Konvensyen dan Pameran Perdagangan Antarabangsa, Stadium Beungkhayong dan Universiti Kebangsaan Laos.

Sukan SEA ke-25 itu membabitkan 386 acara dalam 25 jenis sukan iaitu olahraga, akuatik, memanah, badminton, snuker dan biliard, muay thai, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, sepak takraw, menembak, tenis, ping pong, taekwondo, wushu, bola tampar, gusti, angkat berat, tinju, pencak silat, petanque, renang sirip dan timang bulu ayam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain