suria

Kedah pamer kebangkitan untuk saingi Perlis dan Selangor

KUALA LUMPUR: Pasukan Kedah terus mempamerkan kebangkitan di dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang malam tadi.

Kedah yang dibimbing oleh Mohd Azraai Khor Abdullah membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi rembatan kencang Mohd Khyril Muhayameen Zambri namun gol itu hanya bertahan seminit apabila tuan rumah menyamakan kedudukan melalui S. Thingaran.

Kedah, yang sudah terlepas untuk mempertahankan Piala FA musim ini, bagaimanapun terus mengasak dan menyerang kubu lawan berjaya menjaringkan gol kedua skuad Kenari menerusi tendangan Mohd Asrul Ahmad pada minit ke-75.

Keputusan ini membolehkan Kedah melonjak ke tangga ketiga liga daripada tempat kelima sebelum ini dengan mengumpul 28 mata sekaligus berada di belakang Perlis (32 mata) dan Selangor (31 mata).

Hasrat Kelantan untuk turut memberi tekanan bagi perebutan takhta Liga Super tersekat apabila tunduk 1-2 kepada Johor FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kelantan, yang bertindak selaku tuan rumah, terlebih dahulu membuat jaringan pada minit ke-23 menerusi Mohd Nizab Ayob namun pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi jaringan Azizan Baba untuk keputusan seri 1-1 pada separuh masa.

Pada babak kedua, Azizan mempamerkan ketajaman penyudahnya apabila meledak gol kedua untuk Johor FC pada minit ke58 sekaligus membolehkan mereka memenangi perlawanan ketujuh daripada 14 perlawanan yang diharungi.

Pada satu lagi perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kuala Muda Naza yang turun selaku tuan rumah berjaya menewaskan KL Plus 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit keempat dan 87. BERNAMA

Artikel Berikut

BAM sedia bantu Laos

Artikel Lain