suria

Nasib ibu pejabat AFC ditentukan Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Nasib ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), yang lebih dikenali sebagai AFC House di Bukit Jalil, sama ada akan kekal di negara ini atau berpindah ke negara lain, akan diketahui Jumaat ini apabila 46 anggota persekutuan itu mengundi bagi memilih seorang anggotanya untuk menduduki kerusi jawatankuasa kerja FIFA pada Kongres ke-23nya di sini.

Kerusi itu, yang kini disandang oleh presiden AFC Mohamed Hammam dari Qatar, selepas beliau mengambil alihnya daripada presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah pada 2000, turut menjadi rebutan presiden Persatuan Bola Sepak Bahrain Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa.

Asia mempunyai empat kerusi dalam Jawatankuasa Kerja FIFA badan 24 anggota yang menentukan negara yang akan menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2018 dan 2022.

Empat kerusi berkenaan kini disandang oleh Datuk Seri Chung KongJoon dari Korea Selatan, Junji Ogura dari Jepun (Asia Timur), Woradi Makudi dari Thailand (Asia Tenggara) dan Mohammad Hammam (Timur Tengah).

Kerusi yang diperuntukkan kepada Timur Tengah inilah yang akan dipertandingkan Jumaat ini. Mohamed Hammam berikrar bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai presiden AFC sekiranya kalah kepada Sheikh Salman.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahrain itu pula berjanji bahawa sekiranya beliau memenangi kerusi itu, AFC House tidak akan dipindahkan ke negara lain.

Pada mesyuarat majlis kerjanya di sini September lepas, AFC membuka bida kepada 46 negara anggotanya untuk mencadangkan lokasi baru bagi menempatkan ibu pejabat persekutuan bola sepak itu. Bida berkenaan ditutup pada 31 Oktober 2008.

Antara negara yang dikatakan berminat menjadi tuan rumah baru bagi ibu pejabat AFC ialah Singapura, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Bagaimanapun, kebanyakan anggota AFC memberi maklum balas bahawa cadangan untuk memindahkan ibu pejabat AFC ke tempat baru tidak mencerminkan hasrat sebahagian besar anggotanya.

Antara pemimpin utama AFC yang menentang cadangan itu ialah naib presiden FIFA dari Korea Selatan Dr Chung KongJoon.

Beliau berpendapat bahawa Mohammed Hammam sepatutnya mengambil kira sejarah dan saiz benua Asia sebelum mengumumkan cadangan untuk memindahkan ibu pejabat AFC ke negara lain.

Dr Chung berkata keputusan Mohammed Hammam itu adalah tidak bijak dan tidak mencerminkan pendirian anggota lain.

"Tak tahulah saya dari mana beliau mendapat idea itu. Nampaknya, Mohammed Hammam suka membuat keputusan sendiri," katanya.

Seorang lagi tokoh bola sepak, yang juga bekas setiausaha agung AFC, Datuk Peter Vellapan dari Malaysia, yang pernah berkhidmat dengan persekutuan itu selama 30 tahun berkata:

"Cadangan itu merupakan penghinaan terhadap semua pemimpin dan pegawai Malaysia yang telah bekerja keras bagi memajukan dan mempromosikan sukan bola sepak di Asia. Jelas sekali, presiden tidak memahami sejarah dan budaya bola sepak Asia.

"AFC menjadi apa yang ada sekarang hasil daripada kepimpinan, ketekunan dan sumbangan para pemimpin Malaysia serta berkat sokongan kerajaan."

Perdana Menteri Pertama Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj menyandang jawatan presiden AFC selama 24 tahun, diikuti Tan Sri Hamzah Abu Samah selama 16 tahun dan Sultan Ahmad Shah selama lapan tahun, sebelum diambil alih oleh Hammam.

Sekretariat AFC, yang memulakan tugasnya di Hong Kong selepas penubuhan badan pengawas bols sepak itu di Manila, Filipina pada 8 Mei, 1954, berpindah ke Pulau Pinang pada 1965.

Sepuluh tahun kemudian, sekretariat itu berpindah pula ke Ipoh, Perak dan apabila Vellapan menjadi orang kuat AFC pada 1978, beliau menubuhkan pejabatnya di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2000, AFC memiliki bangunan sendiri di Bukit Jalil. Sementara itu, Sultan Ahmad Shah bertitah FAM tidak akan mengemukakan rayuan berhubung sebarang keputusan yang dibuat oleh AFC, tetapi akan hanya meminta anggota lembaga pengarahnya menimbang semula keputusan berkenaan. Bagaimanapun, sesuatu yang boleh dikatakan pasti ialah sekiranya Sheikh Salman terpilih menduduki kerusi berkenaan Jumaat ini, AFC House akan terus kekal di Bukit Jalil. BERNAMA

Artikel Lain