suria

Jangan rasa rendah diri - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemain hoki negara supaya tidak merasa rendah diri apabila berhadapan pasukan kuat seperti India dan Korea Selatan pada kejohanan Hoki Piala Asia ke8 yang akan berlangsung di sini dari 9 hingga 16 Mei ini.

Beliau selaku Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) berkata skuad negara perlu yakin untuk bersaing dengan pasukanpasukan berkenaan yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding skuad negara.

"India dengan Korea Selatan sememangnya mempunyai ranking lebih baik, tapi kalau kita dapat memecahkan mentaliti blok ini, keyakinan kita akan dapat dipertingkatkan lagi dan ini boleh menyakinkan mereka untuk bermain dengan lebih baik dengan pasukan-pasukan mana sekalipun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan para pemain negara di sini.

Tengku Abdullah berkata apa yang penting skuad negara perlu lakukan ialah berjuang sehingga wisel penamat, tanpa mudah mengalah sekalipun ketinggalan dalam sesuatu perlawanan.

Mengenai infrastruktur kejohanan, Tengku Abdullah berkata kemudahan di Stadium Hoki Wisma Belia dan padang hoki SUKPA yang akan menjadi pentas kejohanan telah dipertingkatkan.

"Lampu, padang dan tempat duduk penonton telah dibaik pulih, hanya papan skor masih belum dibaiki," kata beliau.

Lapan pasukan kejohanan kali ini di mana Kumpulan A terdiri daripada Malaysia, Korea Selatan, Jepun dan Oman manakala Kumpulan B disertai Pakistan, India, China dan Bangladesh. BERNAMA

Artikel Lain