suria

Sri Lanka tarik diri daripada Kejohanan Hoki Piala Asia

KUANTAN: Sri Lanka menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Kejohanan Hoki Piala Asia edisi kelapan di Kuantan pada 9 hingga 16 Mei depan.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata beliau baru saja dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini, namun tidak menjelaskan punca penarikan diri pasukan tersebut.

Beliau meminta Persekutuan Hoki Asia (PHA) mencari pengganti pasukan itu secepat mungkin agar tidak mengganggu jadual pertandingan.

Katanya PHA memandang berat perkara tersebut kerana kerajaan Pahang sanggup menjadi tuan rumah dan berbelanja hampir RM1.3 juta untuk menaiktaraf kemudahan di Stadium Hoki Wisma Belia di sini selepas Dubai menarik diri daripada menganjur kejohanan itu.

"Jika boleh kita mahu lapan pasukan yang akan berentap namun, pertandingan tetap akan dijalankan walaupun tiada pasukan ganti bagi menggantikan pasukan Sri Lanka, cuma ia akan mengganggu perjalanan jadual pertandingan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Stadium Hoki Wisma Belia di sini, hari ini.

Kejohanan itu turut disertai juara bertahan India, Korea Selatan, Pakistan, Jepun, Malaysia, China dan Bangladesh.

Mengenai kerja menaiktaraf gelanggang kejohanan itu, Tengku Abdullah berkata beliau amat berpuas hati dengan keadaan stadium berkenaan.

"Cuma ada satu, dua kawasan di padang yang perlu dikemaskan lagi dan saya harap kebersihan di sini dapat ditingkatkan lagi," katanya.

Beliau berharap kerjakerja di stadium berkenaan akan siap sepenuhnya selewatlewatnya pada awal bulan depan.

Ditanya mengenai persiapan pasukan kebangsaan, Tengku Abdullah berkata para pemain sudah bersedia menghadapi kejohanan itu.

Katanya PHM mensasarkan pasukan kebangsaan menduduki tempat empat terbaik supaya mendapat slot automatik ke kejohanan Piala Dunia di New Delhi, India tahun depan.BERNAMA

Artikel Lain