suria

Siti Zalina tekad bangkit semula selepas digantung

KUALA LUMPUR: Setelah terlepas peluang beraksi pada Kejohanan Boling Padang Dunia di Warilla, Australia bulan lepas akibat digantung oleh persatuannya sendiri, Siti Zalina Ahmad kini terpaksa bermula dari bawah bagi mengumpul mata untuk melayakkan diri ke kejohanan yang sama tahun depan.

Siti Zalina yang kini menduduki ranking ketiga dunia berkata beliau berasa amat lega selepas Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) membuat keputusan untuk menarik balik hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

"Saya kini kembali bersemangat untuk meneruskan latihan bersungguh-sungguh untuk menjadi pemain terbaik dunia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pada 12 Mac lepas Siti Zalina dan seorang lagi pemaian negara Norhashimah Ismail, masingmasing digantung 18 bulan dan setahun oleh PLBM kerana kesalahan disiplin ketika menjalani latihan di pusat latihan Bukit Kiara 26 Oktober lepas.

Namun PLBM menarik balik pengantungan tersebut 10 April lalu setelah mendapat persetujuan Ahli Majlis PLBM yang memutuskan untuk menggugurkan hukuman sertamerta ke atas Siti Zalina dan Norhashimah serta seorang lagi pemain, Maisarah Aminluddin.

Beliau berkata, walaupun berdepan dengan dugaan yang cukup besar ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlatih, sebaliknya melihat penggantungan sebelum ini sebagai satu cabaran peribadi buat dirinya.

Akibat daripada pengantungan itu juga Siti Zalina hilang kelayakan untuk bertanding pada Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik di Bukit Kiara Ogos nanti.

Siti Zalina yang juga anggota polis berpangkat Koperal berkata pada 27 Mei depan beliau akan mewakili Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) beraksi di Kejohanan Berpasangan Kebangsaan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata beliau akur dengan apa yang menimpa dirinya dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk bangkit semula dalam sukan boling padang. BERNAMA

Artikel Lain