suria

Perlawanan persahabatan Kelantan dengan MU dan Liverpool

KOTA BAHARU: Pasukan Kelantan akan beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan kelab bola sepak utama Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Liverpool sewaktu lawatan mereka ke Old Trafford pada Ogos depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata dengan adanya dua perlawanan persahabatan itu, hadiah lawatan daripada KAFA kepada skuad negeri yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA bukan sekadar lawatan pelancongan sematamata.

"Janji untuk 'Wira Merah' untuk dibawa ke Old Trafford akan tertunai tetapi mereka ke negara itu bukan soal melancong sematamata kerana akan diadakan perlawanan dengan dua pasukan bola sepak itu sewaktu lawatan mereka nanti," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari pasukan bola sepak Kelantan bersama media di sini hari ini.

Beliau berkata lawatan itu juga bertujuan untuk melihat corak pengurusan pemain di negara itu dan melihat corak industri bola sepak antarabangsa selain membawa pasukan Kelantan melawat beberapa tempat istimewa di negara itu.

Katanya lawatan ke Old Trafford itu akan disertai rombongan 70 orang termasuk 40 orang pemain Kelantan dan pegawai serta 30 penyokong bertuah yang dipilih menyertai rombongan itu melalui pakej istimewa yang disediakan.

"Meskipun pasukan kita belum mampu menamatkan kemarau 88 tahun untuk memenangi piala tetapi kita harap dengan hadiah ini semangat mereka tidak luntur untuk terus meraih kejuaraan dan memburu piala dalam perlawanan yang akan datang terutama Liga Super dan Piala Malaysia yang bakal tiba nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain